Adakah Anda Mempunyai Masalah Kewangan ?

Individu yang stabil kewangannya adalah individu yang berjaya merancang kewangan dengan baik. Begitu juga sebaliknya. Bagaimana pula kita ? Adakah tergolong dalam kategori yang stabil atau tidak ?

Masalah kewangan boleh berlaku bila-bila masa jika kita tidak berhati-hati menguruskannya. Tidak dinafikan ianya memang sukar kerana melibatkan duit tetapi itulah pengorbanan untuk kehidupan yang tenang dan harmoni.

Kenapa wujudnya masalah kewangan ?

Berbelanja melebihi pendapatan

  • Setiap orang akan ada pendapatan. Ada yang secara bulanan, mingguan dan harian. Tidak kisah berapa pendapatan yang diterima, kita sepatutnya menggunakan pendapatan tersebut dengan berhemah untuk mengelakkan perbelanjaan melebihi pendapatan.

 

Selalu menerima notis tunggakan bil

  • Setiap rumah paling kurang menggunakan air dan elektrik. Ianya menjadi kewajipan bulanan kerana kita menggunakannya setiap hari. Jadi, asingkan terus wang pendapatan untuk bayaran bil-bil tersebut bagi mengelak dari tunggakan. Apabila tertunggak, ia akan membebankan lagi pada masa akan datang kerana bil tersebut perlu dilunaskan juga.

 

Membeli secara ansuran

  • Jangan cuba membeli secara ansuran barang-barang seperti peti sejuk, televisyen, perabot atau lain-lain peralatan. Ansuran akan menjadikan kita berhutang dan mempunyai komitmen untuk membayar secara bulanan. Ia bukan mengurangkan bebanan sedia ada malah menambahkan lagi kerana memberi kesan kepada pendapatan. Sepatutnya untuk membeli barang keperluan seperti peti sejuk, kita harus menyimpan terlebih dahulu. Cukup jumlahnya barulah beli. Sabar adalah kunci orang yang berjaya.

 

Berbelanja menggunakan wang simpanan

  • Jika seseorang menggunakan wang simpanan, ini bererti mereka gagal merancang kewangan dengan baik. Simpanan adalah untuk waktu-waktu kecemasan seperti kebakaran, sakit dan seumpamanya. Bukan untuk digunakan sebagai menampung perbelanjaan hujung bulan.

 

Gemar membuat pinjaman baru

  • Membuat pinjaman bukan satu kesalahan. Tetapi hanya untuk keperluan penting sahaja seperti membeli rumah atau kereta. Jangan pula menambah-nambah pinjaman hanya untuk perkara yang tidak sepatutnya seperti berkahwin. Berkahwin adalah sunnah yang digalakkan tetapi bukan untuk menunjuk. Tidak perlu majlis besar-besaran jika tidak berkemampuan. Cukup sekadar bersederhana menggunakan wang yang ada.

 

Jika anda mempunyai masalah-masalah berikut, bererti anda tergolong dalam orang yang mengalami situasi kegawatan kewangan. Perkara ini berlaku kerana diri kita sendiri yang tidak dapat mengawal kuasa beli dengan bijak. Berbelanjalah dengan cermat sebelum terlambat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.