Bagaimana Seorang Pelajar Dapat Urus Kewangan Dengan Baik

Kehidupan seorang pelajar sama sekali berbeza dengan individu bekerja. Zahirnya, seorang pelajar sepenuh masa tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri melainkan bantuan dari pihak-pihak tertentu seperti ibubapa atau pinjaman pendidikan.

Namun ianya bukan alasan untuk seorang pelajar gagal menguruskan kewangan sendiri. Perkara itu seharusnya menjadi titik utama untuk membangkitkan rasa ingin menguruskan kewangan dengan baik kerana sedar diri sudah meningkat usia. Sampai bila ingin bergantung dan sentiasa mengharapkan sumber kewangan dari orang sekeliling ?

Ikuti perkongsian tentang cara-cara untuk menguruskan kewangan bagi individu yang bergelar pelajar.

1 – Perancangan rapi

Untuk menjadikan sesuatu usaha terlaksana, anda harus merancang. Contohnya setiap bulan ibubapa akan memasukkan duit sebanyak RM300. Sebelum berbelanja, amalkan konsep senarai. Setiap apa yang anda buat seperti bajet makan sehari, keperluan barangan, apa-apa bayaran yang perlu diselesaikan, senaraikan terlebih dahulu.

Ini membantu perancangan anda supaya tidak melebihi bajet yang ada. Jangan mudah terikut dengan kawan-kawan yang mungkin mempunyai bajet yang lebih berbanding kita. Cuba praktikkan tidak berbelanja melebihi bajet yang dirancang.

2 – Membuat simpanan

Simpan dahulu sebelum berbelanja walaupun sedikit. Disiplinkan diri untuk menyimpan sekurang-kurangnya RM1 sehari. Sediakan tabung bersaiz sederhana untuk menggalakkan anda menyimpan. Sesuai dengan pepatah, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’.

Setelah penuh, masukkan simpanan ke dalam bank untuk lebih selamat tetapi jangan pula menggunakannya untuk berbelanja. Asingkan akaun untuk simpanan dan akaun untuk perbelanjaan harian.

3 – Berhemah dalam berbelanja

Berbelanja hanya untuk keperluan bukannya kemahuan. Kehidupan seorang pelajar bukan untuk bersenang-senang kerana kita belajar mencari ilmu untuk keredhaan Allah taala. Tidak perlu berbelanja untuk perkara yang tidak sepatutnya kerana mendatangkan pembaziran.

4 – Amalkan wang di tangan

Jangan berbelanja keseluruhan wang yang anda ada. Sebagai contoh, anda ada RM50 di dalam dompet dan berbelanja kesemuanya sehingga habis. Tindakan itu salah. Dalam satu-satu masa, anda mestilah mempunyai sekurang-kurangnya RM10 simpanan tetap yang tidak boleh diusik di dalam dompet.

Ia bertujuan sebagai kegunaan kecemasan seperti sesat tidak dapat pulang ke kampus, tidak sihat, ketiadaan bas dan sebagainya. Anda boleh menggunakan wang tidak diusik tadi untuk waktu-waktu seperti ini.

5 – Tidak meminjam

Jika anda merancang kewangan dengan baik, pastinya wang anda mencukupi untuk perbelanjaan. Sekiranya anda meminjam, bererti anda gagal merancang kewangan dengan baik. Apabila terbiasa meminjam, ia akan membuatkan anda sering melakukannya. Meminjam bukan langkah terbaik untuk anda dalam kesempitan malah menimbulkan masalah baru kerana anda harus mencari solusi untuk membayarnya sedangkan sebagai seorang pelajar, anda belum ada pendapatan sendiri.

6 – Jujur dalam setiap perkara

Individu yang baik tidak berbohong untuk mendapatkan wang. Jangan sesekali memutarbelitkan keadaan dengan berbohong kepada kedua ibubapa semata-mata untuk mendapatkan duit. Jelaskan dengan betul kenapa duit anda habis dan tidak meminta jumlah yang berlebihan dengan kedua ibubapa. Cukuplah sekadar memenuhi keperluan anda sebagai pelajar.

Seorang pelajar adalah amanah yang diberikan oleh Allah swt supaya mencari ilmu di dunia untuk dimanfaatkan kepada masyarakat. Setinggi mana pun ilmu yang dipelajari jangan sekali-kali lupa kedua ibubapa. Mereka mengharapkan kejayaan dari anda jadi belajarlah bersungguh-sungguh. Ingatlah redha Allah terletak pada redha kedua ibubapa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.