Ramai yang berpendapat wang adalah segala-galanya. Namun itu semua mengikut persepsi masing-masing kerana kehidupan kita dari latar belakang yang tidak sama. Pada pandangan peribadi, kehidupan sekarang memang memerlukan duit tetapi tidak bererti wang adalah jaminan segala-galanya. Walaupun tidak ada duit, kita boleh menjalani kehidupan normal dengan cara sendiri. Yang penting, setiap orang mestilah berusaha untuk kehidupan yang lebih baik sesuai dengan kemampuan diri.
Kenapa kita lihat ramai masyarakat sekarang berpecah-belah kerana wang ? Keluarga boleh bergaduh kerana kesempitan wang, adik-beradik bermusuhan kerana harta pusaka, rakan baik menipu untuk dapatkan duit dan banyak lagi. Bagaimana situasi ini boleh boleh terjadi ?
– Wang adalah segala-galanya
Tidak dinafikan, wang adalah sumber yang diperlukan setiap manusia untuk meneruskan kehidupan seharian. Namun ianya harus berkadaran, sesuai dengan diri kita. Jika wang diurus dengan baik, tidak akan timbul permasalahan dalam keluarga. Sebuah keluarga haruslah saling memahami antara satu sama lain. Bukan hanya mengikut kehendak masing-masing yang inginkan kemewahan dan kesenangan.
Cuba menghargai orang sekeliling yang bekerja dan berpenat lelah untuk mendapatkan pendapatan bagi kesenangan kita bersama. Jangan kerana wang semata-mata, keluarga berpecah-belah, bercerai-berai dan sebagainya.
– Ukur baju di badan sendiri
Masalah kewangan biasa berlaku apabila tidak sedar kemampuan diri. Terlalu ikutkan trend, diri sendiri yang binasa kerana tidak cukup duit. Contohnya, dapat gaji terus habis berbelanja sakan, baju baru, tukar perabot baru, kereta baru dan sebagainya. Ikutkan teknologi, kita juga yang tidak terkejar. Sepatutnya berbelanja pada keperluan sahaja, tidak perlu menukar semua benda baru setiap bulan. Jika seseorang itu berkemampuan, tidak mengapa tapi amalkan sikap berjimat cermat kerana setiap rezeki datang dari Allah swt. Bila-bila masa rezeki itu Allah swt boleh tarik sekelip mata.
-Terlalu mengejar kemewahan
Islam mengajar umatnya untuk hidup bersederhana. Seperti Nabi Muhammmad saw, baginda sangat bersederhana dalam setiap perkara. Contohnya tempat beradu, baginda hanya tidur beralaskan pohon kurma. Bukan seperti kita sekarang, ada katil besar, bantal empuk, penghawa dingin dan macam-macam keselesaan. Maka nikmat mana yang kita semua dustakan ?
Tidak perlu mengejar kemewahan yang jelas bersifat sementara. Cukup sekadar selesa dengan pendapatan dan kehidupan yang sederhana. Dalam situasi harta pusaka, ianya jelas sudah tertulis mengikut perkiraan faraidh, tidak perlu sampai bergaduh sesama keluarga hanya kerana harta. Keluarga itu sendiri adalah harta kekal kita semua kerana tanpa mereka, siapalah kita.
-Tidak amanah
Terdapat hadis daripada Abu Hurairah, mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Jika sifat amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari kiamat (tanda kiamat semakin dekat).” Lalu seorang sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dimaksudkan sifat amanah disia-siakan ya Rasulullah?” Baginda menjawab; “Jika diserahkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” – Hadith riwayat al-Bukhari. Rasulullah saw adalah sebaik-baik contoh. Jika kita mengaku umat baginda, mengapa perlu melanggar perintahnya? Amanah adalah sifat yang terpuji. Setiap orang mestilah amanah dalam melakukan setiap perkara kerana ianya merupakan salah satu sifat terpuji Rasullullah saw.
Apatah lagi kita sebagai manusia biasa, jangan sekali-kali pecah amanah semata-mata kerana duit. Sentiasa ingat bahawa rezeki yang kita dapat tidak berkat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Jangan hanya kerana duit, kita sanggup mengetepikan agama. Fikirlah dengan waras.
Harta yang bertimbun belum tentu menjanjikan kebahagiaan. Tetapi keluarga yang harmoni pasti membawa ke syurga. Hormati dan hargai setiap insan yang berada dengan anda sebelum ia pergi selamanya. Cari harta biarlah berpada-pada, kejar akhirat biar bersungguh-sungguh.
