Hidup adalah pilihan dan hidup juga adalah corak yang telah kita bentuk. Kita yang menentukan bagaimana kehidupan kita pada masa akan datang. Pernahkah kita dengar, ‘tindakan seseorang sekarang mempengaruhi bagaimana seseorang itu di masa hadapan’.
Untuk mencapai sasaran kewangan yang stabil, seseorang hendaklah merancang sebaiknya. Perlu ada target dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Perancangan kewangan ialah permulaan bagi pengurusan ekonomi individu sebagai latihan mendidik diri mencapai kestabilan kewangan seperti yang diidamkan.
Seseorang yang merancang kewangan dari awal akan memberi kebaikan dan pulangan buat dirinya sendiri. Contohnya membeli aset, merancang pendidikan dan sebagainya. Tidakkah kita juga menginginkannya ?
Apa sebenarnya kelebihan merancang kewangan ?
1 ) Mempunyai ekonomi yang kukuh
Ekonomi ibarat roda yang sentiasa berpusing. Adakala berada di atas dan adakalanya di bawah. Apabila kita merancang kewangan dari awal, kehidupan akan lebih terjamin. Walaupun keadaan ekonomi jatuh, kita sudah ada bekalan perancangan rapi yang dapat membantu dalam waktu-waktu tersebut.
2 ) Bersedia untuk segala kemungkinan
Langit tidak selalunya cerah. Berapa banyak kemalangan dan musibah yang menimpa setiap individu ? Kemungkinan-kemungkinan sebegitu kita tidak dapat elak kerana risiko ada di mana-mana.
Itulah tujuan perancangan kewangan. Takaful diwujudkan untuk membantu masyarakat menghadapi situasi sukar seperti kemalangan, masalah kesihatan dan sebagainya. Pelaburan kita yang sedikit untuk takaful dapat memberi manfaat buat diri sendiri apabila berdepan kemungkinan di atas.
3 ) Melabur dengan bijak
Pelaburan merupakan salah satu perancangan yang boleh diterapkan untuk setiap individu. Pelaburan yang baik dari sumber yang jelas dapat membantu pendapatan anda. Contohnya, melabur dari awal untuk membeli aset seperti rumah atau sebagai modal bisnes. Beranikan diri menceburi bidang pelaburan untuk masa depan yang cerah.
4 ) Pendapatan dapat disimpan
Perancangan membantu individu lebih berjimat dalam setiap perkara dan dapat memaksimumkan pendapatan yang diterima. Pendapatan yang diterima dapat menjadi simpanan untuk masa hadapan anda bagi tujuan kecemasan.
5 ) Perbelanjaan lebih terkawal
Setiap orang yang merancang kewangan akan lebih berhati-hati dalam berbelanja. Pepatah mengatakan, ‘ukur baju di badan sendiri’.
Perancangan kewangan menjadikan seseorang lebih bijak dalam membezakan antara keperluan dan kemahuan walaupun zaman serba moden ini akan lebih menjadikan masyarakat tergugat untuk berbelanja. Lebih-lebih lagi adanya online shopping. Semua kemudahan berada di hujung jari.
Namun, sekiranya seseorang telah mempunyai perancangan, kita akan berfikir panjang dalam membuat sebarang keputusan supaya tidak memuaskan nafsu semata-mata.
Latih diri untuk merancang kerana kebaikannya untuk diri kita sendiri di masa akan datang. Merancang kewangan adalah suatu yang menguntungkan ramai. Segeralah bertindak demi masa depan yang diimpikan.
