Pengeluaran Apa Yang Ada Dalam KWSP (siri 1)

KWSP tidak asing lagi bagi kita. Tetapi jangan terlalu bergantung kepada KWSP kerana kita sudah mempunyai simpanan masa depan. Dengan KWSP juga kita boleh mengeluarkan simpanan sekiranya memerlukan duit bagi tujuan-tujuan tertentu. Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan bebanan kita dalam mendapatkan duit.

Tujuannya bukan untuk mengurangkan simpanan yang ada malah ia membantu bagi merancang kewangan dengan baik tanpa perlu meminjam. Pengeluaran ini dibenarkan jika memenuhi baki simpanan yang ditetapkan. Pengeluaran KWSP melibatkan kedua-dua iaitu simpanan Akaun 1 dan 2 mengikut kategori yang berkaitan.

 

1) Pengeluaran membina rumah

Individu boleh membuat pengeluaran bagi tujuan membina rumah samada dilakukan bersendirian atau bersama pasangan, keluarga dan individu lain. Tidak semestinya anda lakukan secara persendirian.

Untuk melakukan pengeluaran ini individu mestilah memenuhi syarat-syarat seperti berikut :

– Individu tidak pernah melakukan pengeluaran bagi tujuan ini (pembinaan rumah).

– Mempunyai niat untuk membeli atau membina rumah kedua tetapi rumah pertama mestilah dijual terlebih dahulu (sekiranya rumah dibina melalui pengeluaran KWSP).

– Mempunyai perjanjian jual beli atau pembinaan rumah yang tidak melebihi tiga tahun pada waktu permohonan diterima dari KWSP.

– Individu mestilah belum mencapai usia 55 tahun pada waktu menerima permohonan dari KWSP.

– Rumah yang beli mestilah dari pihak yang dibenarkan KWSP sahaja.

– Harus membeli tanah dan membina rumah di atas tanah tersebut.

Sekiranya individu melakukan perkara-perkara berikut,mereka tidak dibenarkan untuk memohon skim pengeluaran ini.

– Membeli tanah atau rumah lot

– Menambah baik rumah

– Membaiki atau melakukan penambahan kepada rumah yang sedia ada

– Menjual dan memindah milik rumah pertama dengan sengaja dan berniat ingin menjualnya.

2) Pengeluaran rumah kedua

Prosedur yang sama seperti pengeluaran membina rumah pertama. Bezanya ialah individu mesti memberi bukti bahawa rumah pertama telah dijual dan bukan diklasifikasi sebagai sengaja menjual rumah tersebut (suka dan berniat). Seharusnya rumah tersebut dijual dengan sebab-sebab tertentu yang logik dan sesuai.

Pembinaan rumah pertama mestilah melalui dana dari KWSP barulah rumah kedua dapat diluluskan.

3) Pengeluaran kematian

Hanya individu yang dicalonkan oleh si mati dapat melakukan pengeluaran ini. Bayaran pula akan dibayar berdasarkan peratus yang dibenarkan sahaja.

Jika tiada yang dicalonkan dan si mati telah berkahwin, maka pelaksana akan memilih samada pasangan, anak-anak atau penjaga, ibubapa, adik-beradik atau sesiapa yang berkaitan dengan si mati dan hendaklah dibenarkan oleh KWSP.

Sekiranya si mati ialah bujang, pelaksana akan membuat pemilihan samada ibubapa, adik-beradik atau sesiapa yang layak menerimanya dari KWSP dan mempunyai hak ke atas simpanan tersebut.

4) Pengeluaran bagi pendidikan

Pengeluaran pendidikan adalah satu kemudahan yang diberikan bagi menampung kewangan individu sekiranya:

– Individu telah mendaftar sebagai pelajar di mana-mana pusat pengajian di dalam atau luar negara. Syarat pengajian mestilah peringkat Diploma dan ke atas sahaja.

– Individu mempunyai anak yang berdaftar sebagai pelajar. Syarat pengajian hendaklah peringkat Sarjana Muda (Degree) dan ke atas sahaja.

Untuk melayakkan individu atau anaknya menerima pengeluaran ini mereka mestilah tidak menerima apa-apa bantuan kewangan atau pinjaman dari mana-mana institusi.

Selain itu, individu juga dibenarkan untuk membuat pengeluaran pendidikan bagi membayar yuran tuisyen selama satu tahun. Untuk bayaran tuisyen, individu dibenarkan untuk menarik balik bayaran yang telah dibayar dengan syarat permohonan telah dihantar tidak lebih satu tahun dari tarikh resit dikeluarkan.

Pengeluaran pendidikan juga boleh dibuat untuk mengurangkan atau menyelesaikan baki hutang pinjaman pendidikan. Ini boleh dibuat sekiranya individu atau anak masih belajar dan masih mempunyai baki tertunggak dengan mana-mana insitusi berdaftar IFSA atau Bank Rakyat.

5) Pengeluaran Pelaburan

Bagi skim pengeluaran ini, anda boleh lakukan melalui Akaun 1. Individu boleh mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP untuk skim pengeluaran pelaburan. Dengan syarat, baki simpanan mestilah melebihi RM55,000. Individu dibenarkan untuk mengeluarkan sekurang-sekurangnya (minima) RM1,000 dari simpanan dan tidak lebih 20% daripada lebihan RM50,000 di dalam Akaun 1.

Pengeluaran dana yang dibuat oleh individu mestilah dilaburkan kepada pengurus dana yang telah dipersetujui oleh Kementerian Kewangan. Harus diingat, individu mestilah merujuk KWSP berkaitan senarai terbaru pengurus dana yang diluluskan supaya tidak berlaku penipuan kewangan.

Selain itu, individu juga dibolehkan untuk melabur daripada akaun simpanan sendiri setiap 3 bulan. Pelaburan ini dibenarkan oleh KWSP sehingga baki simpanan Akaun 1 individu tidak kurang RM55,000.

6) Pengeluaran Meninggalkan Negara

Simpanan KWSP juga melibatkan individu selain warga Malaysia. Jika individu yang mempunyai akaun KWSP samada warganegara Malaysia atau bukan dan bercadang ingin berpindah iaitu meninggalkan Malaysia untuk kebaikan seperti bekerja atau pulang ke tanah air, mereka dibenarkan untuk mengeluarkan semua simpanan KWSP yang ada.

Untuk warganegara Malaysia, ini diibaratkan seperti mereka telah membatalkan atau meninggalkan kewarganegaraannya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.