Pengeluaran Apa Yang Ada Dalam KWSP (siri 2)

Siri kedua ini adalah sambungan kepada artikel sebelumnya iaitu berkaitan Pengeluaran di dalam KWSP (Siri 1).

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengeluaran yang anda boleh lakukan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ikuti perkongsian di bawah.

7) Pengeluaran Kesihatan

Individu yang mempunyai simpanan KWSP boleh mengeluarkan simpanan mereka untuk pembiayaan kesihatan penyakit kritikal. Ianya boleh dikeluarkan samada individu itu sendiri mempunyai penyakit atau ahli keluarganya seperti isteri, anak kandung, anak tiri atau anak angkat yang sah, ibubapa kandung, ibubapa mertua atau ibubapa angkat dan adik-beradik.

Pengeluaran kesihatan juga boleh dilakukan dengan membeli bantuan perubatan atau bekalan prostetik badan. Menariknya lagi pengeluaran kesihatan juga boleh dilakukan secara bersama. Individu boleh sepakat untuk mengeluarkan simpanan dengan ahli keluarga yang lain bagi menampung kos tersebut.

Pengeluaran kesihatan memberikan anda dua pilihan untuk pengeluaran iaitu :

– Individu boleh mengeluarkan keseluruhan simpanan di dalam Akaun 2.

– Individu hendaklah mendapatkan kos sebenar rawatan yang lebih rendah.

NOTA PENTING ;

Sekiranya individu telah mendapat dana sepenuhnya dari majikan, mereka tidak dibenarkan lagi untuk melakukan pengeluaran bagi skim pengeluaran kesihatan KWSP.

8) Pengeluaran Pencen Pekerja

Pengeluaran ini hanya untuk pekerja yang berkhidmat di dalam sektor kerajaan sahaja dan bagi individu yang memilih skim ini.

Mereka boleh melakukan pengeluaran bagi pembahagian KWSP dan dividen yang melibatkan simpanan ini.

9) Pengeluaran Pengurangan Pinjaman Rumah

Bagi pengeluaran ini, individu boleh membuat pengeluaran melalui Akaun 2 masing-masing.

Pinjaman tersebut mestilah diperoleh daripada badan-badan atau institusi yang berautoriti iaitu institusi di bawah pengawasan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA), majikan sendiri atau daripada syarikat yang berlesen.

Pengeluaran ini boleh dilakukan secara individu atau bersama pasangan, ahli keluarga dan juga individu lain. Pengeluaran ini bertujuan bagi membantu pasangan masing-masing untuk mengurangkan dan menghapuskan baki hutang pinjaman.

Dalam skim ini, individu dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan berdasarkan baki hutang tersebut atau baki Akaun 2 KWSP dan mengambil kira jumlah yang paling rendah.

Sekiranya individu melakukan pengeluaran bersama pasangan atau keluarga atau individu lain, pengeluaran tersebut dikira berdasarkan baki semasa hutang rumah atau baki tersedia di dalam Akaun 2. Ia melibatkan amaun paling rendah antara kedua-duanya.

Untuk kes terakhir, KWSP akan membuat proses bagi permohonan pemohon pertama, sekiranya tidak mencukupi barulah permohonan kedua akan diproses iaitu permohonan bersama pasangan atau lain-lain.

10) Pengeluaran Kekurangan Fizikal atau Mental

Individu yang mempunyai masalah fizikal atau mental dibenarkan untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP mereka. Keseluruhan bermaksud simpanan bagi kedua-dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2. Dengan syarat, individu tersebut mesti mendapatkan laporan kesihatan tentang ketidakupayaan fizikal atau mental itu daripada doktor yang bertauliah bagi mengelakkan berlaku penipuan.

11) Pengeluaran Pesara Pilihan

Setelah mencapai usia 50 tahun, individu yang menjadi ahli KWSP dibolehkan mengeluarkan 100% simpanan mereka di dalam Akaun 2. Skim ini bertujuan bagi membantu bakal pesara untuk bersedia menjelang hari persaraan tersebut. Permohonan bagi skim ini boleh dibuat dalam tempoh 6 bulan sebelum menjelang usia 50 tahun dan bayaran akan mula dibuat setelah individu mencapai 50 tahun.

12) Pengeluaran Berpencen

Jika dilihat pengeluaran persaraan mungkin sama dengan pesara tetapi sedikit berbeza dari segi umur. Pengeluaran persaraan dibolehkan bagi individu yang mencecah usia 55 tahun. Mereka dibenarkan mengeluarkan keseluruhan simpanan yang ada dari akaun KWSP.

Sama seperti prosedur skim pesara, permohonan pengeluaran hendaklah dibuat 6 bulan sebelum mencecah usia 55 tahun dan bayaran akan dibuat apabila individu cukup umur 55 tahun.

 

Begitulah serba sedikit tentang pengeluaran yang anda boleh lakukan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP. Ia langsung tidak membebankan anda walaupun dikenakan potongan wajib secara bulanan daripada jumlah pendapatan yang diterima kerana kebaikan yang anda dapat manfaatkan sepanjang simpanan tersebut berjalan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.