Setiap kali ingin membuat perancangan, kita mesti ada tujuannya. Mana mungkin terdetik satu perancangan tanpa tujuan tertentu. Kita tengok kepada situasi sekarang kerajaan telah memberi inisiatif berbentuk wang ringgit kepada rakyat melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan tujuan meringankan beban setiap golongan bagi menghadapi gelombang wabak yang sedang melanda seluruh dunia.
Tujuan kita merancang hartanah adalah untuk kebaikan bersama iaitu diri sendiri dan orang sekeliling.
1 ) Menjaga kebajikan ahli waris atau keluarga
- Perancangan harta pusaka sangat penting bagi memastikan ahli waris atau keluarga menerima pengagihan harta yang sepatutnya supaya tidak ada yang terbiar. Islam menitikberatkan pengurusan harta pusaka kerana ingin memanjangkan silaturrahim yang telah terbina dalam kalangan keluarga walaupun telah meninggal dunia. Harta yang ada dapat dimanfaatkan kepada ahli waris yang betul-betul memerlukannya kerana ketiadaan si mati.
2 ) Mengekalkan kestabilan ekonomi negara
- Individu yang mempunyai harta seperti perniagaan, pelaburan, emas dan sebagainya mempunyai kewajipan tertentu yang wajib dilaksankan. Sebagai contoh cukai ke atas perniagaan, zakat sebagai umat Islam. Hal ini akan bertepatan mengikut peratus yang telah ditetapkan. Ini termasuk dalam membantu ekonomi negara dan pembangunan masyarakat supaya tidak ada jurang antara masyarakat yang berbilang di negara kita. Masyarakat akan lebih terjamin dan negara kekal harmoni dengan perancangan yang dibuat.
Individu mestilah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan melaksanakan perintah dan amanah yang dipikul. Dalam kehidupan, jika hanya berpendirian untuk diri sendiri kita tidak akan harmoni kerana tanpa bantuan individu lain, kita bukanlah siapa-siapa. Contoh terdekat ialah pendidik yang menaburkan bakti mendidik anak bangsa sehingga berjaya dalam bidang masing-masing.
