Sesuai dengan situasi masyarakat, mungkin ini antara soalan yang menjadi tanda tanya ramai pihak.
Kenapa kita perlu buat wasiat ? Apa kepentingannya ?
Ikuti perkongsian kenapa perlunya seseorang individu membuat wasiat semasa hayat mereka.
Komponen penting dalam perancangan harta pusaka
Seperti sedia maklum, dalam perancangan harta pusaka kita ada faraidh, wasiat dan hibah. Wasiat salah satu darinya dan ia jelas menunjukkan satu kepentingan dalam menguruskan harta. Rasulullah saw ada menyebut tentang keutamaan melakukan wasiat di dalam satu hadis iaitu, “Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunnah. Dia juga mati sebagai seorang yang bertaqwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan”. – Hadis riwayat Ibn Majah
Membantu mempercepat proses perundangan melibatkan pentadbiran harta
Wasiat dapat membantu bagi mempercepatkan pengurusan harta pusaka individu kerana menjimatkan masa pengurusan yang singkat. Selain faraid dan hibah, kita boleh melakukan wasiat ke atas harta yang ada. Dengan syarat, ia tidak melebihi 1/3 daripada harta.
Individu bebas memilih pelaksana dan pemegang amanah
Istimewanya dalam wasiat, individu dibenarkan memilih pelaksana dan pemegang amanah masing-masing. Pelaksana akan bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan semua harta individu yang akan dibuat wasiat. Manakala pemegang amanah sebagai orang yang menjaga amanah yang diberikan untuk disampaikan kepada penerima manfaat wasiat tersebut.
Memberi peluang kepada pewasiat membuat pengagihan khas kepada insan tersayang
Mungkin ada dalam kalangan kita yang ingin memberikan senyuman buat insan tersayang melalui pembahagian harta. Jadi, wasiat adalah satu-satunya platform yang dibenarkan. Dengan cara ini, kita dapat berbakti kepada orang lain yang mungkin sangat berharga dan mempunyai nilai tersendiri kepada kita secara langsung atau tidak. Sekurang-kurangnya kita dapat menghadiahkan sesuatu buat mereka melalui wasiat.
Membolehkan untuk memberi hadiah kepada bukan ahli keluarga atau waris
Wasiat sedikit berbeza daripada pengurusan harta yang lain kerana wasiat diberikan kepada individu yang bukan dalam kalangan ahli waris atau keluarga. Mungkin kita ingin mewasiatkan harta kepada kawan baik, anak angkat dan lain-lain. Selain itu, satu cara untuk kita menambahkan lagi pahala iaitu berbakti kepada badan-badan kebajikan atau pusat keagamaan yang ada dengan mewasiatkan sebahagian harta untuk mereka.
Wasiat dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama masyarakat tidak kira agama, bangsa mahupun warna kulit. Yang jauh, kita dekatkan. Yang dekat, kita eratkan. Sama-sama praktikkan wasiat dalam kehidupan sebaiknya.