Bagaimana Pembahagian Harta

Harta pusaka atau faraidh adalah tuntutan dalam Islam. Apabila berlaku kematian, faraidh merupakan salah satu inisiatif yang boleh diambil oleh ahli waris untuk pengagihan harta si mati.

Harta pusaka akan diagihkan berdasarkan tiga sebab iaitu :

1 ) Perkahwinan

Perkahwinan yang sah di sisi Islam akan membenarkan setiap pasangan menerima harta pusaka daripada pasangannya apabila meninggal dunia. Seperti isteri akan menerima sebahagian daripada harta suami yang telah meninggal dunia mengikut kiraan yang telah ditetapkan.

2 ) Wala’

Wala’ adalah pembebasan hamba. Menurut istilah bahasa Arab, wala’ bermaksud hubungan kekeluargaan. Bagi pembahagian harta pusaka, wala’ ialah pembebasan hamba. Ia merupakan satu keistimewaan yang akan diperoleh bekas pemilik hamba daripada hamba yang telah dibebaskan. Bekas pemilik hamba boleh mewarisi harta pusaka hambanya samada bekas hambanya lelaki atau perempuan. Bagi situasi ini, bekas pemilik hamba dianggap sebagai asabah kerana diri sendiri (al-Asabah bi al-Nafs). Rasulullah SAW telah bersabda,

Maksudnya : “Wala’ adalah darah daging seumpama darah daging seketurunan.” – Riwayat Ahmad

Tetapi, harus diingat bahawa bekas hamba tidak layak menerima harta pusaka bekas tuannya.

3 ) Nasab (keluarga)

Nasab ialah keturunan. Sesiapa sahaja yang mempunyai nasab dengan si mati layak untuk menerima pembahagian harta pusaka melalui faraidh. Contohnya cucu saudara, anak saudara, dan sebagainya. Keturunan turun-temurun dari moyang, datuk atau nenek dapat mewarisi harta pusaka kerana masih mempunyai pertalian darah dengan si mati. Tetapi, sekiranya si mati tidak mempunyai ahli waris terdekat seperti isteri, anak atau ibubapa.

”Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut (hukum) Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” firman Allah swt di dalam surah al-Anfal ayat 75.

Ketiga-tiga kategori ini akan menerima harta pusaka yang ditinggalkan. Harta tersebut terdiri daripada tanah, rumah, perhiasan seperti emas atau perak, haiwan peliharaan tempatan seperti lembu, kambing, ayam dan lain-lain. Ahli waris di atas akan diagihkan harta pusaka tersebut mengikut jumlah yang layak diterima dan berdasarkan persetujuan bersama.

Bagaimana pula pembahagian harta dapat dilaksanakan ?

Syarat-syarat bagi membolehkan harta diagihkan ialah pewaris mestilah telah meninggal dunia semasa pembahagian dilakukan. Ianya dalam tiga keadaan samada meninggal duni secara hakiki, hukmi atau taqdiri.

Kedua, ahli waris atau keluarga hendaklah hidup (wujud) semasa kematian pewaris. Wujud ini bermaksud masih hidup secara hakiki atau taqdiri.

Ketiga, status dan habuan yang bakal diterima ahli waris mestilah diketahui dan jelas mengenainya. Ahli waris atau keluarga hendaklah terlepas daripada mana-mana halangan perwarisan yang membolehkan mereka terhalang menerima harta warisan seperti perhambaan, pembunuhan dan perbezaan agama.

Sekiranya syarat-syarat di atas tidak dipenuhi maka ahli waris atau keluarga tidak dapat menerima harta pusaka yang ditinggalkan.

Pembahagian harta pusaka dapat mendekatkan lagi hubungan kekeluargaan yang terbina. Mungkin ada yang belum mengenali keturunan terdahulu akhirnya saling mengenali apabila ingin menguruskan pembahagian harta pusaka ahli keluarga masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published.