Khuntha : Bagaimana Status Pewarisan Harta ?

Khuntha ialah satu sifat kelainan pada diri individu. Menurut Islam, khuntha adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin pada dirinya iaitu lelaki dan perempuan. Boleh jadi individu khuntha tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan mereka lelaki atau perempuan tetapi memiliki dua tempat keluar air kencing.

Apabila bayi khuntha dilahirkan, akan ada penentuan jantina bayi tersebut kerana mempunyai dua identiti yang berbeza. Bagi menentukan jantina khuntha yang masih kecil, para ulama’ faraidh telah sepakat menetapkan beberapa syarat.

1) Melalui tempat keluar air kencing

Mengambil kira alat lelaki atau perempuan yang mengeluarkan air kencing bagi bayi tersebut. Sekiranya air kencing keluar melalui alat lelaki, maka bayi tersebut dikira lelaki dan layak menerima harta pusaka sebagai ahli waris lelaki. Sekiranya air kencing keluar melalui alat perempuan maka bayi tersebut dikira perempuan dan layak mewarisi harta pusaka sebagai ahli waris perempuan.

Bagi situasi khuntha yang mengeluarkan air kencing melalui kedua-dua alat iaitu lelaki dan perempuan, lihat kepada alat mana yang paling banyak mengeluarkan air kencing. Sekiranya air kencing banyak keluar melalui alat lelaki maka ia dikira sebagai lelaki dan layak menerima harta pusaka sebagai ahli waris lelaki. Begitu juga sebaliknya bagi khuntha perempuan.

Selain itu, ulama’ juga berpendapat menentukan jantina khuntha melalui alat kelamin yang terdahulu mengeluarkan air kencing. Sekiranya kedua-dua alat mengeluarkan air kencing, ia harus dilihat yang lebih terdahulu (cepat) mengeluarkannya. Sekiranya air kencing keluar melalui alat lelaki dahulu sebelum perempuan, maka dianggap bayi tersebut lelaki dan begitu juga sebaliknya bagi penentuan bayi perempuan.

Bagi khuntha yang sudah dewasa, cara menentukannya adalah dengan mengambil kira syarat berikut.

2) Perubahan fizikal

Sekiranya mempunyai tanda-tanda lelaki seperti pertumbuhan misai, janggut, perubahan suara dan sebagainya maka mereka dianggap sebagai lelaki dan akan mewarisi harta pusaka sebagai ahli waris lelaki.

Sekiranya mempunyai tanda-tanda seorang perempuan seperti pertumbuhan buah dada, keluar haid, hamil dan sebagainya maka mereka dianggap sebagai perempuan dan akan menerima harta pusaka sebagai ahli waris perempuan.

Andai kata masih tidak dapat ditentukan individu khuntha melalui tanda-tanda di atas, ianya harus ditentukan dengan cara lain.

3) Bilangan tulang rusuk

Para ulama’ berpendapat melalui bilangan tulang rusuk pada bahagian bawah sebelah kiri badan mereka. Sekiranya bilangan tulang rusuk kiri kurang satu batang berbanding sebelah kanan, maka individu tersebut adalah dianggap lelaki dan layak mewarisi harta pusaka sebagai ahli waris lelaki.

Sekiranya bilangan tulang rusuk sama pada kedua-dua belah kiri dan kanan maka ia dianggap perempuan dan individu tersebut layak menerima harta pusaka sebagai ahli waris perempuan.

4) Naluri

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa khuntha boleh ditentukan melalui naluri dan keinginan mereka. Sekiranya naluri individu tersebut berminat kepada perempuan maka dia dianggap sebagai lelaki dan akan menerima harta pusaka sebagai ahli waris lelaki.

Sekiranya naluri atau keinginan individu tersebut berminat kepada lelaki maka dia dianggap sebagai perempuan dan akan mewarisi harta pusaka sebagai ahli waris perempuan.

Khuntha merupakan satu fitrah dalam kalangan manusia tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Urus identiti khuntha dengan betul dan adil supaya tidak berlaku kecelaruan identiti mahupun jantina. Seeloknya dikenalpasti dengan lebih awal selepas diketahui status khuntha tersebut bagi memudahkan kehidupan mereka pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.