Ahli waris atau ahli keluarga merupakan individu terdekat dengan kita. Dalam pembahagian harta pusaka, ahli waris yang akan menerima harta peninggalan. Contohnya, suami, isteri, anak, ibubapa, adik-beradik dan lain-lain.
Namun, sudahkah kita mengetahui tentang ahli waris? Siapa dan bagaimana sebenarnya ahli waris?
Di dalam Al-Quran, terdapat tiga kategori ahli waris iaitu Ashab al-Furud, Asabah dan Dhawi al-Arham. Ketiga-tiga kategori ini mempunyai perbezaan masing-masing yang akan membezakan cara pembahagian dan penerimaan harta pusaka setelah berlaku kematian di dalam ahli keluarga.
Kali ini saya akan berkongsi tentang kategori pertama iaitu ASHAB AL-FURUD.
Ashab al-Furud adalah salah satu golongan ahli waris yang akan menerima harta pusaka. Istimewanya ashab al-furud ialah merupakan golongan paling utama dan akan didahulukan bagi setiap pembahagian dan penerimaan harta pusaka. Ashab al-furud yang akan menerima harta pusaka terlebih dahulu berbanding asabah dan dhawi al-arham.
Golongan ini telah disebut di dalam Al-Quran tentang pembahagiannya. Malahan juga disebut di dalam Al-Sunnah dan Ijmak. Ashab al-furud terdiri daripada 12 golongan.
GOLONGAN 1 – SUAMI
- Suami akan menerima harta pusaka apabila isteri meninggal dunia. Sekiranya tidak mempunyai anak samada lelaki atau perempuan atau cucu ke bawah, suami akan menerima ½ daripada harta manakala jika mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu ke bawah, suami akan menerima ¼.
GOLONGAN 2 – ISTERI
- Isteri akan menerima harta pusaka apabila suami meninggal dunia. Sekiranya tidak mempunyai anak samada lelaki atau perempuan atau cuc ke bawah, isteri akan menerima 1/4 manakala jika mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu ke bawah, isteri akan menerima 1/8.
GOLONGAN 3 – BAPA
- Bapa akan menerima tiga jenis pembahagian iaitu 1/6 sekiranya si mati mempunyai anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki atau ke bawah.
- 1/6 dan asabah sekiranya si mati mempunyai anak perempun.
- Asabah sekiranya si mati tidak mempunyai anak samada lelaki atau perempuan, atau anak perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah.
GOLONGAN 4 – IBU
- Ibu akan menerima melalui tiga jenis pembahagian iaitu 1/6 jika si mati mempunyai anak atau anak perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah atau mempunyai beberapa orang saudara samada lelaki atau perempuan.
- Menerima 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka jika si mati tidak mempunyai ahli-ahli waris seperti di atas.
- Dan menerima 1/3 baki jika si mati meninggalkan salah seorang suami atau dan bapa tanpa ahli waris yang lain (Umariyyataian sahaja).
GOLONGAN 5 – DATUK (BAPA KEPADA BAPA)
- Situasi datuk adalah sama seperti BAPA. Tetapi datuk akan terhalang daripada mewarisi harta pusaka sekiranya ada bapa kerana datuk terhalang oleh bapa. Sekiranya bapa tiada, datuk akan menerima 1/6 atau 1/6 dan asabah atau asabah sama seperti bapa.
GOLONGAN 6 – NENEK
- Nenek akan terhalang sekiranya ada IBU. Nenek tidak akan mewarisi harta pusaka kerana terhalang oleh ibu. Sekiranya tiada ibu, nenek akan menerima 1/6 daripada harta samada bilangannya seorang atau lebih.
GOLONGAN 7 – ANAK PEREMPUAN
- Anak perempuan akan menerima ½ daripada harta sekiranya seorang.
- Sekiranya dua orang atau lebih, anak perempuan akan menerima 2/3.
- Sekiranya anak perempuan bersama-sama anak lelaki, anak perempuan akan menerima asabah bi al-ghayr. Anak lelaki akan menerima dua bahagian anak perempuan.
GOLONGAN 8 – ANAK PEREMPUAN KEPADA ANAK LELAKI (CUCU PEREMPUAN)
- Menerima ½ sekiranya seorang.
- 2/3 sekiranya dua orang atau lebih.
- 1/6 sekiranya bersama-sama seorang anak perempuan.
- Dan menerima asabah bi al-ghayr sekiranya bersama-sama dengan anak lelaki kepada anak lelaki.
- Cucu perempuan akan terhalang daripada menerima harta pusaka oleh anak lelaki atau dua anak perempuan melainkan terdapat anak lelaki kepada anak lelaki yang sama-sama menerima asabah bi al-ghayr.
GOLONGAN 9 – SAUDARA PEREMPUAN SEIBU SEBAPA
- Menerima ½ sekiranya seorang.
- 2/3 sekiranya dua orang atau lebih.
- Ketika bersama saudara lelaki seibu sebapa, akan menerima asabah bi al-ghayr. Manakala menerima asabah ma’a al-ghayr sekiranya bersama-sama anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau kedua-duanya.
- Dan akan terhalang oleh anak lelaki atau cucu lelaki atau ke bawah.
GOLONGAN 10 – SAUDARA PEREMPUAN SEBAPA
- Menerima 1/2 sekiranya seorang.
- 2/3 sekiranya dua orang atau lebih.
- 1/6 sekiranya bersama dengan seorang saudara perempuan seibu sebapa.
- Menerima asabah bi al-ghayr sekiranya bersama saudara lelaki sebapa.
- Menerima asabah ma’a al-ghayr sekiranya bersama anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua-duanya.
- Dan akan terhalang oleh anak lelaki, cucu lelaki, bapa, saudara lelaki seibu sebapa, dua orang saudara perempuan seibu sebapa (kecuali jika ada saudara lelaki sebapa) dan terhalang oleh seorang saudara perempuan seibu sebapa ketika dia menerima asabah ma’a al-ghayr.
GOLONGAN 11 – SAUDARA PEREMPUAN SEIBU
- Menerima 1/6 sekiranya seorang.
- 1/3 sekiranya dua orang atau lebih.
- Terhalang oleh anak keturunan sama ada lelaki atau perempuan, bapa atau datuk.
GOLONGAN 12 – SAUDARA LELAKI SEIBU
- Menerima 1/6 sekiranya seorang.
- 1/3 sekiranya dua orang atau lebih.
- Dan terhalang oleh anak keturunan lelaki atau perempuan, bapa atau datuk.
12 golongan ini terbahagi kepada tiga bahagian ahli waris iaitu ahli waris utama, ahli waris gantian dan ahli waris sisian (hawasyi).
Ahli waris utama adalah ahli waris yang akan diutamakan terlebih dahulu berbanding yang lain (gantian dan sisian). Ahli waris utama tidak akan digugurkan daripada menerima harta pusaka secara mutlak. Mereka ialah suami, isteri, ibu, bapa dan anak perempuan.
Ahli waris gantian adalah yang akan menggantikan ahli waris utama dalam penerimaan dan pembahagian harta pusaka kerana tiada (meninggal). Ahli waris gantian ialah datuk, nenek dan anak perempuan kepada anak lelaki. Contohnya datuk ganti bapa, nenek ganti ibu dan anak perempuan kepada anak lelaki ganti anak perempuan.
Ahli waris sisian (hawasyi) merupakan ahli waris yang tidak tergolong di dalam ahli waris utama dan gantian. Ianya saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara lelaki dan perempuan seibu.
