Sudahkah Anda Kenali Ahli Waris – Dhawi al-Arham

Ashab al-furud sudah, asabah pun sudah kita kenali. Ahli waris terakhir yang akan menerima harta pusaka ialah Dhawi al-arham.

Dhawi al-arham adalah ahli waris yang mempunyai hubungan dengan si mati. Mereka ialah kerabat atau mempunyai pertalian darah dengan si mati dan mereka tidak termasuk dalam kalangan ahli waris ashab al-furud dan asabah. Contoh bagi ahli waris dhawi al-arham ialah anak lelaki dan anak perempuan kepada anak perempuan, anak lelaki dan anak perempuan kepada saudara perempuan, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain.

Terdapat perselisihan pendapat mengenai pembahagian dhawi al-arham iaitu ;

Berhak menerima harta pusaka

  • Pendapat ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal. Menurut Saidina Ali, Umar, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Muaz bin Jabal, Mujahid, Ikramah, Shurayh, Masruq, al-Nakhai’, al-Sha’bi dan lain-lain, mereka berpendapat bahawa ahli waris dhawi al-arham berhak menerima harta pusaka. Ianya dibenarkan sekiranya tidak ada ahli waris ashab al-furud dan asabah kecuali suami atau isteri.

Tidak berhak menerima harta pusaka

  • Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Shafie, Maliki dan Ibn Hazm al-Zahiri. Menurut Saidina Abu Bakar, Uthman, Zayd bin Thabit, Sufyan alThawri, al-Zuhri, al-Awzai, Ibn Jarir al-Tabari dan fuqaha Hijaz, mereka berpendapat bahawa ahli waris dhawi al-arham tidak boleh mewarisi harta pusaka. Hal ini kerana tidak terdapat nas-nas yang jelas dan sahih daripada Al-Quran, Al-Sunnah dan ijmak mengenainya.

Bagi yang berpendapat bahawa dhawi al-arham dibolehkan menerima harta pusaka, mereka hendaklah menepati dua syarat ini.

1) Mestilah tidak ada ahli waris ashab al-furud. Sekiranya terdapat ahli waris ashab al-furud, mereka akan mengambil bahagiannya sebagai ahli waris ashab al-furud dan bakinya dengan cara al-radd.

2) Mestilah tidak ada ahli waris asabah. Sekiranya terdapat ahli waris asabah maka semua harta akan dihabiskan oleh ahli waris asabah.

Meskipun terdapat perselisihan pendapat mengenai dhawi al-arham, kaedah ini dibnetuk bagi menjaga kebajikan ahli-ahli waris si mati. bagi mendekatkan mereka yang jauh samada lelaki atau perempuan. Walaupun ianya tidak menjadi keutamaan tetapi setidaknya peluang ahli waris jauh dapat dipelihara. Dalam masa yang sama dapat mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli keluarga si mati. sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita memelihara agama, bangsa dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.