Perancangan kewangan sangat penting dalam situasi ekonomi sekarang yang kita tidak dapat jangka. Ada masa naik dan ada kemungkinan boleh turun mendadak. Lagi-lagi duit adalah keperluan dunia sekarang, memanglah duit tidak boleh beli semuanya tetapi untuk membeli sesuatu barang dan keperluan memerlukan duit. Penting untuk kita semua merancang kewangan sebaik-baiknya.

Antara tips untuk memastikan kewangan stabil ialah :
1) Mempunyai sumber pendapatan
Pastikan ada sumber pendapatan. Jangan malas bekerja. “MAN JADDA WAJADA” (sesiapa yang berusaha pasti beroleh kejayaan). Pekerjaan ada dua kategori iaitu sepenuh masa dan separuh masa. Rancang masa anda sebaiknya untuk melakukan pekerjaan kerana sesetengah individu tidak cukup dengan hanya kerja sepenuh masa mengikut jam bekerja dari pagi sehingga petang. Mereka mungkin memerlukan pendapatan sampingan seperti bekerja sambilan pada waktu malam. Lakukanlah apa sahaja jenis pekerjaan asalkan halal dan dibenarkan dalam Islam.
2) Bebaskan segala hutang
Seboleh-bolehnya tidak berhutang dengan sesiapa sahaja. Andai kata anda mempunyai hutang, selesaikannya terlebih dahulu barulah sambung merancang kewangan bersih tanpa hutang. Hidup bergelumang hutang membuatkan anda tidak tenang melalui hari-hari mendatang kerana memikirkan hutang yang ada. Jadi, selesaikan hutang secepat mungkin supaya dapat meneruskan rancangan kewangan dengan tenteram.
3) Setkan matlamat diri
Matlamat diri sangat penting untuk merancang kewangan kerana memberi kesan kepada diri seseorang individu. Anda harus setkan sesuatu untuk anda capai dalam satu tempoh masa. Melalui target tersebut anda akan berusaha semampu mungkin untuk memenuhinya. Ia akan menjadi batu api pada waktu-waktu down. Sebagai contoh, target dalam tempoh tertentu untuk memiliki rumah atau membawa keluarga ke tanah suci Mekah dan anda tahu apa yang perlu dibuat bagi merealisasikannya.
4) Merancang pendidikan
Rancang pendidikan maksudnya pilih kemudahan untuk menyambung pembelajaran dengan cara yang terbaik. Merancang tak semestinya dari segi duit sahaja, tempat juga berperanan. Belajarlah di universiti awam yang kosnya jauh lebih murah. Elakkan dari membuat pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Usahakan untuk mencari penaja dan inisiatif yang tidak membebankan diri sendiri. Contohnya, tanggungan ibubapa sepenuhnya atau meminjam dari adik beradik. Jika tidak dapat elak dari meminjam , cuba untuk membuat pinjaman dari badan yang memberi pulangan atau manfaat kepada kita. Contohnya pinjaman yang akan bertukar menjadi biasiswa penuh apabila menepati syarat-syarat yang diberikan.
Sesetengah individu mungkin merasa susah untuk melakukan perkara-perkara di atas tetapi setidaknya anda mempunyai kesedaran dan berusaha untuk merancang kewangan ke arah lebih baik demi masa depan.