Ada beberapa tempat yang terbaik untuk membuat penyimpanan kita bagi tujuan mendapatkan manfaat dan faedah pada masa akan datang, selain menyimpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji juga berperanan sebagai satu tempat di mana para penyimpan dapat kelebihan yang berganda dengan membuka akaun TH ini.
Walaupun ASB dan TH sebenarnya bukan instrumen simpanan sebaliknya instrumen pelaburan, namun kita boleh menganggapnya sebagai satu instrumen penyimpanan. Sekiranya ada yang nak menyimpan dana rizab ke, dana kecemasan ke ataupun simpanan perbelanjaan tetap boleh disimpan di dalam Tabung Haji atau ASB.

Namun tahukah anda banyak kelebihan menyimpan dalam Tabung Haji ini yang sebolehnya menjadi sebagai satu instrumen simpanan yang terbaik. Kelebihannya adalah :-
1. Permulaan Modal Yang Rendah
- Akaun simpanan Tabung Haji ini boleh dibuka untuk warganegara Malaysia yang beragama Islam sahaja dengan pelaburan modal yang sangat rendah iaitu serendah RM2 sahaja. Jadi tiada alasan untuk tidak membuka akaun simpanan Tabung Haji ini.
2. Konsep Simpanan Yang Terjamin
- Di dalam Akta Tabung Haji ada dinyatakan bahawa konsep yang digunakan dalam penyimpanan akaun Tabung Haji ini adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah iaitu satu konsep berasaskan jaminan.
- Maknanya pendeposit memberi wang kepada TH untuk disimpan manakala Th sebagai penjaga (custodian) akan bersetuju bagi menjaga wang tersebut. Jadi, pendeposit memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan ataupun meminjam wang dari pendeposit sebagai tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.
- Walaubagaimanapun, kerajaan melalui TH menjamin setiap ringgit yang diletakkan oleh pendeposit akan terjamin sebaiknya.
3. Pulangan Yang Kompetitif
- Pihak Tabung Haji pada setiap tahun akan sentiasa berkongsi keuntungan yang diperoleh dengan para pendeposit melalui pengagihan Hibbah (Hadiah) dalam bentuk bonus dan dividen.
- Dividend dan Bonus yang Kompetitif diagihkan setiap tahun adalah 5% hingga 6% lebih lagi berbanding dividen yang diberikan oleh akaun simpanan tetap bank sekadar 4% setahun secara purata.
4. Pengecualian Cukai
- Sebarang bonus dan dividen yang diberikan oleh Tabung Haji kepada para pendepositnya akan dikecualikan cukai oleh pihak kerajaan. Makanya, pendapatan yang diperoleh dikategorikan sebagai pendapatan dikecualikan cukai serta tidak perlu diisytiharkan dalam boring taksiran cukai pendapatan.
5. Zakat di Tanggung oleh Tabung Haji
- Zakat penyimpan akan dibayar oleh Tabung Haji secara wajib sekiranya simpanan pendeposit yang telah cukup nisab (jumlah) dan Haul (tempoh) mencapai RM15,000 dalam tempoh setahun sebagai ‘Penyucian Harta’, maka ianya akan memudahkan pendeposit kerana tidak perlu mengeluarkan zakat simpanan.
6. Simpanan dan Pengeluaran Tanpa Had
- Tabung Haji membenarkan para pendeposit untuk menyimpan seberapa banyak amaun yang tiada had limit serta tiada had untuk mengeluarkannya. Cara ini amat memudahkan pendeposit untuk mencairkan simpanan sekiranya diperlukan.
7. Pelaburan Patuh Syariah
- Tabung Haji memastikan setiap pelaburan, penyimpanan dan perniagaan yang dilakukan adalah mematuhi syariah.
- Perkara ini juga dikawal sendiri oleh Panel Pelaburan dan Jawatankuasa Penasihat Syariah yang ditubuhkan Tabung Haji. Jadi, para pendeposit tidak perlu bimbang berkenaan statusnya.
8. Simpanan Bagi Mengerjakan Haji
- Tujuan utama oleh Tabung Haji ditubuhkan adalah untuk mengendalikan serta menguruskan urusan haji pendepositnya secara mudah.
- Maka, selain melakukan penyimpanan para pendeposit juga bakal peroleh khidmat untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.
Begitulah serba sedikit kelebihan yang ada dalam penyimpanan Tabung Haji yang diuruskan secara telus dan mematuhi syarak.
