Sebelum ini kita tahu apa itu wakaf dan bagaimana pelaksanaannya. Walaupun wakaf bukan kategori wajib dilakukan, tetapi sebagai Muslim semestinya ingin melakukan sebanyak mungkin kebaikan di dunia kerana itulah bekalan untuk dibawa ke Akhirat.

Lumrah masyarakat tidak menggemari untuk melakukan sesuatu benda atau pekerjaan jika tidak ada ganjaran. Kita boleh tengok kanak-kanak riang yang bermain di halaman. Apabila ibubapa tiba-tiba memberi arahan untuk melakukan sesuatu disertakan ganjaran seperti gula-gula atau aiskrim pastinya laju untuk membantu. Begitu juga wakaf.
1-Wakaf merupakan salah satu penjanaan ekonomi Islam
Ekonomi Islam akan membangun apabila masyarakat mula menyalurkan harta mereka ke jalan yang benar lebih-lebih lagi membantu individu lain.
2-Wakaf dapat menyucikan hati dan menjauhi sikap pentingkan diri sendiri
Dengan memberi wakaf sebahagian daripada harta dapat membersihkan harta tersebut kerana mungkin rezeki yang kita dapat mempunyai unsur yang tidak jelas atau serba kekurangan. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan yang mungkin secara sengaja mahupun tidak. Masyarakat juga lebih cakna dengan sekeliling apabila membantu mereka dengan melaksanakan wakaf.
3-Wakaf membantu mengurangkan jurang kehidupan masyarakat
Kita tahu masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan, ada yang senang ada juga kurang berkemampuan. Dengan wakaf, dapat membantu golongan seperti ini menerima fasiliti atau kemudahan yang sama seperti masyarakat lain.
4-Wakaf meningkatkan pembangunan sosial dalam kalangan ummah
Masyarakat akan menitikberat keprihatinan sesama mereka. Walaupun tidak mengenali tetapi secara tidak langsung akan lebih mengenali apabila melaksanakan wakaf samada dengan golongan penerima atau pihak pengurusan wakaf sendiri.
Kita ikhlas, Allah swt redha. Harta wakaf itu kekal sampai bila-bila selagi ia bermanfaat kepada penerima dan pewakaf bukan sahaja memperoleh kemanisan di dunia tetapi pahala berpanjangan kerana amalan mulia yang telah dilakukan.