Perancangan harta pusaka atau pembahagian semula aset adalah satu proses yang panjang dalam kehidupan individu kerana ianya berterusan melibatkan kedudukan kewangan seseorang. Segala perancangan harus mengambil kira semua aspek yang akan terlibat.
3 skop utama dalam pengurusan harta pusaka adalah melibatkan pengumpulan, penjagaan dan pembahagian aset-aset bagi memastikan ia dapat diserahkan kepada penerima manfaat dengan jumlah dan waktu yang sepatutnya.
Kaedah 1 # PENGUMPULAN
Setiap individu terutamanya Muslim hendaklah peka dan cakna dengan perancangan pengurusan harta semasa hidup supaya menyenangkan ahli waris setelah berlaku kematian. Ini kerana harta yang dikumpul adalah untuk kegunaan ahli waris iaitu kesenangan bagi mereka.
Semua harta individu hendaklah dikumpulkan dan diletakkan di satu tempat yang senang untuk ahlikeluarga temui apabila meninggal dunia. Urusan harta juga senang diuruskan apabila sudah tersedia maklum oleh ahli keluarga dengan jelas tanpa berselindung untuk mengelakkan harta tidak diketahui dan akhirnya beku kerana tidak ada yang menuntut.
Kaedah 2 # PENTADBIRAN
Ahli keluarga mestilah mempunyai wakil bagi menguruskan segala pentadbiran berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan bagi memudahkan urusan dilakukan. Wakil yang dipilih mestilah menjalankan amanah yang diberikan supaya harta dapat diuruskan dengan baik. Ahli waris atau keluarga mestilah melakukan pengurusan harta di pejabat-pejabat yang berkaitan bagi tujuan mencairkan aset-aset yang ada.
Kaedah 3 # PENGAGIHAN
Kaedah terakhir ialah pengagihan harta pusaka. Pengagihan boleh dibuat dengan pelbagai cara seperti faraidh, pembahagian sama rata, hibah atau sepakat. Ahli keluarga atau waris bebas untuk berbincang bagi melaksanakan pembahagian harta pusaka melalui salah satu pelaksanaan tersebut. Ini bagi memudahkan semua pihak dan mestilah mendapat persetujuan ramai.
