Sebelum ini kita telah mengenali ashab al-furud, kali ini kita merungkai tentang asabah.
Apa itu ASABAH ?
Asabah bermaksud baki. Dalam pembahagian harta pusaka, asabah adalah ahli waris yang akan menerima harta pusaka tetapi tidak dijelaskan dan dinyatakan bahagiannya di dalam Al-Quran atau Al-Sunnah. Asabah akan menerima harta dalam pelbagai bahagian. Boleh jadi mereka akan menerima keseluruhan harta pusaka, atau menerima baki harta pusaka atau tidak memperolehi harta pusaka kerana ianya telah dihabiskan oleh ahli waris ashab al-furud.
Asabah terbahagi kepada dua kategori iaitu asabah sababiyyah dan asabah nasabiyyah.
Asabah sababiyyah ialah orang yang telah memerdekakan hamba. Mereka akan menerima harta pusaka mengikut asabah sababiyyah.
Manakala asabah nasabiyyah pula ahli waris yang mempunyai hubungan nasab dengan si mati iaitu talian persaudaraan (kerabat) yang dari kalangan lelaki dan perempuan. Bagi lelaki ialah kerabat lelaki yang tidak diselangi perempuan contohnya anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki, bapa, datuk, saudara lelaki seibu sebapa, bapa saudara seibu sebapa dan anak lelaki mereka.
Kerabat perempuan pula seperti ahli waris ashab al-furud iaitu perempuan ketika bersama-sama saudara lelakinya seperti anak perempuan ketika bersama anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa ketika bersama dengan saudara lelaki seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa ketika bersama saudara lelaki sebapa.
Asabah nasabiyyah terbahagi kepada tiga kategori lain iaitu asabah bi al-nafs, asabah bi al-ghayr dan asabah ma’a al-ghayr.
ASABAH BI AL-NAFS
Kategori pertama ini mereka menerima asabah dengan diri sendiri. Dengan syarat, mereka mestilah tidak diselangi si mati oleh perempuan. Contohnya anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki, bapa, datuk dan lain-lain.
Seterusnya, asabah bi al nafs terbahagi kepada empat keadaan. Ianya berdasarkan keutamaan dalam menerima asabah (baki) dalam harta peninggalan tersebut dan kesemuanya MESTILAH tidak diselangi oleh perempuan, barulah mereka dapat menerima harta pusaka.
Jihat al-bunuwwah : keutamaan pertama yang akan menerima asabah ialah anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki dan ke bawah.
Jihat al-ubuwwah : seterusnya bapa, datuk dan seterusnya ke atas.
Jihat al-ukhuwwah : seterusnya saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa dan seterusnya ke bawah.
Jihat al-umumah : seterusnya bapa saudara seibu sebapa (sebelah bapa) , bapa saudara sebapa (sebelah bapa) , anak lelaki kepada bapa saudara seibu sebapa, anak lelaki kepada bapa saudara sebapa dan seterusnya ke bawah.
ASABAH BI AL-GHAYR
Hanya 4 ahli waris perempuan yang akan menerima asabah bi al-ghayr. Mereka akan menerima asabah ini apabila bersama-sama saudara lelaki yang setaraf. Syarat bagi ahli waris ini menerima asabah bi la-ghayr adalah seperti berikut.
1) Ahli waris perempuan yang tegolong daripada ashab al-furud.
2) Terdapat persamaan jihat antara ahli waris perempuan asbah al-furud dengan ahli waris lelaki yang mentaksibkannya. Jadi, anak perempuan tidak boleh ditaksibkan oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa.
3) Timbul persamaan darjat antara ahli waris perempuan ashab al-furud dengan ahli waris lelaki yang mentaksibkannya. Jadi, anak perempuan kepada anak lelaki tidak boleh ditaksibkan oleh anak lelaki. Manakala saudara perempuan seibu sebapa tidak boleh ditaksibkan oleh anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa
4) Wujud persamaan kekuatan hubungan kekerabatan antara ahli waris perempuan ashab al-furud dengan ahli waris lelaki yang mentaksibkannnya. Jadi, saudara perempuan seibu sebapa tidak boleh ditaksibkan oleh saudara lelaki sebapa.
ASABAH MA’A AL-GHAYR
Asabah terakhir ialah asabah ma’a al-ghayr iaitu merangkumi dua orang sahaja iaitu saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa. Dengan syarat mereka akan menerima harta pusaka apabila bersama-sama dengan anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua-duanya.
Untuk menerima asabah ma’a al-ghayr mestilah memenuhi dua syarat ini.
1) Saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa hendaklah menerima pusaka bersama-sama dengan anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua-duanya.
2) Hendaklah tidak ada bersama-sama mereka saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa. Sekiranya ada saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa maka saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa akan menerima asabah bi al-ghayr.
