Bagaimana Hak Janin Dalam Pewarisan Harta Pusaka ?

Pernah atau tidak kita terfikir tentang pewarisan harta bagi janin di dalam kandungan ?

Layakkah mereka mewarisi harta pusaka peninggalan ahli keluarga sedangkan belum lahir di dunia ?

Jika layak, bagaimana pula mereka ingin mewarisi sedangkan belum lahir dan masih terlalu kecil dan mentah tentang hal ini. Bagaimana hak dan keadilan bagi mereka.

Mari merungkai segala persoalan yang bermain di minda tentang status janin dalam pewarisan harta pusaka.

Majoriti ahli ulama’ sepakat mengatakan janin berhak menerima harta pusaka peninggalan setiap ahli warisnya. Janin tersebut mempunyai hak ke atas harta pusaka dan layak menerima bahagiannya secara adil. Namun, kiraannya mestilah menepati syarat-syarat ini.

1) Janin tersebut mestilah telah ada (wujud) di dalam kandungan ibuya semasa kematian pewaris. Jika janin itu wujud selepas kematian pewaris, ianya tidak dikira dan tidak layak menerima harta pusaka.

2) Janin tersebut mestilah dilahirkan dalam keadaan hidup semasa kematian pewaris walaupun hanya untuk beberapa saat.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai tanda-tanda bagi memastikan janin itu dilahirkan hidup.

  • Menurut Undang-undang Pusaka Islam, tanda-tandanya adalah seperti pergerakan anggota badan (tangan, kaki, dll), dan diikuti sifatnya menangis, menyusu, bernafas dan sebagainya.
  • Para fuqaha’ pula mempunyai perbezaan pendapat bahawa samada seluruh badan janin atau sebahagian besar badan sahaja yang perlu dilahirkan dalam keadaan hidup.
  • Mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali masing-masing mengatakan bahawa janin yang dilahirkan mestilah dalam keadaan hidup keseluruhan anggota badannya. Ini kerana sekiranya lahir hidup sebahagiannya dan setelah itu meninggal dunia, jadi tidak berhak ke atas janin itu untuk mewarisi harta pusaka walaupun kelahiran tersebut diselangi dengan tangisan.

Setelah dipenuhi syarat-syarat tadi, maka janin tersebut berhak untuk mewarisi harta pusaka. Jumlah bahagian harta yang diagihkan akan disimpan sehingga kelahirannya. Pengiraan bagi memudahkan pengagihan harta pusaka adalah dengan menyimpan bahagian paling maksimum kerana kita belum mengenalpasti jantina janin tersebut. Simpanlah bahagian tersebut samada lelaki atau perempuan.

  • Lain pula bagi Mazhab Maliki. Mereka berpendapat bahawa harta pusaka itu tidak dapat dibahagikan sehingga janin itu dilahirkan.

Uruslah harta pusaka dan hak bagi janin dengan adil dan sebaik-baiknya kerana mereka mempunyai hak ke atas harta yang telah ditinggalkan. Memakan harta anak yatim adalah berdosa besar di sisi Islam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.