Bagaimana pewarisan harta bagi MAFQUD ?

Apakah yang dimaksudkan MAFQUD ?

MAFQUD ialah individu yang telah hilang atau tidak dikenalpasti keberadaannya dan tidak diketahui tentang status mereka samada masih hidup atau telah meninggal dunia.

Undang-Undang Pusaka Islam amat menitikberatkan masalah mafqud kerana melibatkan pengurusan harta pusaka terhadap mereka dan juga ahli warisnya. Dalam masalah mafqud, status isteri-isteri mereka adalah tidak boleh dinikahi. Begitu juga hartanya tidak boleh dijadikan harta pusaka selagi tidak jelas tentang status sebenar mereka samada masih hidup atau telah meninggal dunia. Hak-hak individu mafqud juga harus dipelihara sementara menunggu status yang jelas mengenainya.

Undang-Undang Malaysia telah menetapkan syarat-syarat bagi status individu mafqud terbahagi kepada dua :

1) Undang-Undang Syariah

Mahkamah Syariah telah menentukan bahawa individu mafqud selama 4 tahun dan masih tidak dikenalpasti status oleh orang yang sepatutnya maklum mengenainya, individu tersebut dikira telah meninggal dunia. Harta-harta mereka boleh diuruskan pembahagiannya secara harta pusaka.

2) Undang-Undang Sivil

Undang-Undang Sivil pula menentukan tempoh bagi individu mafqud adalah selama 7 tahun. Sekiranya dalam tempoh 7 tahun masih belum dikenalpasti statusnya samada masih hidup oleh ahli keluarga yang sepatutnya tahu mengenainya, maka mereka dianggap telah meninggal dunia dan ahli waris boleh menguruskan harta pusaka peninggalannya.

Hanya mahkamah mempunyai kuasa bagi menentukan dan membuat keputusan terhadap status mafqud samada masih hidup atau telah meninggal dunia. Mahkamah akan melihat kepada bukti-bukti, segala penyiasatan dan tempoh yang telah ditetapkan.

Sekiranya mahkamah telah memutuskan bahawa individu mafqud tersebut meninggal dunia maka dia telah meninggal dunia pada masa yang telah dikeluarkan oleh mahkamah. Ahli-ahli waris yang ada semasa pengumuman tersebut dikeluarkan oleh mahkamah adalah layak mewarisi harta pusaka peninggalan mafqud tersebut.

Begitu juga bagi mafqud, mereka layak menerima segala harta warisan peninggalan ahli warisnya yang meninggal dunia sebelum pengumuman mahkamah dibuat tentang statusnya (meninggal dunia).

Namun sekiranya mahkamah telah memutuskan mafqud tadi telah meninggal dunia dan selepas itu terbukti dia masih hidup, maka individu tersebut tidak boleh menuntut kembali hak mereka ke atas harta yang telah diagihkan kepada ahli waris. Melainkan terdapat harta lebihan yang masih berbaki maka individu mafqud mempunyai hak untuk mengambilnya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.