Dalam pewarisan harta pusaka, hijab bermaksud halangan atau tegahan. Halangan di sini ialah akan ada pihak yang akan terhalang menerima keseluruhan atau sebahagian daripada harta pusaka peninggalan keluarganya dan boleh jadi ia terhalang oleh ahli waris yang lain iaitu yang lebih berhak atau disebabkan faktor-faktor tertentu. Contohnya datuk akan terhalang oleh bapa daripada menerima harta pusaka, suami terhalang oleh anak lelaki atau anak perempuan si mati daripada menerima ½ kepada ¼ bahagian dan sebagainya.
Hijab adalah penting dalam Islam kerana ia menentukan samada seseorang layak atau tidak untuk mewarisi harta pusaka. Ia berperanan sebagai langkah bagi memastikan status dan hak ahli-ahli waris terjamin dalam pengurusan harta pusaka.
Halangan dalam pewarisan harta pusaka terbahagi kepada dua iaitu al-hajb bi al-wasf dan al-hajb bi al-shakhsi.
1 ) Al hajb bi al-wasf
Halangan yang akan melibatkan semua ahli waris. Ini kerana terdapat kriteria atau sifat tertentu yang menjadi penghalang kepada individu untuk menerima harta pusaka seperti pembnuhan, perhambaan, berlainan agama dan sebagainya.
2 ) Al hajb bi al-wasf
Ahli waris terhalang untuk menerima harta pusaka kerana hadirnya ahli waris yang lain yang lebih dekat hubungannya dengan si mati sama ada secara hirman atau nuqsan.
Hijab Hirman – Ahli waris tidak layak terhadap harta pusaka si mati kerana terhalang oleh ahli waris yang lain yang mempunyai hubungan lebih dekat dengan si mati. Jadi ahli waris tersebut dikeluarkan dari penerima harta pusaka secara mutlak (tidak berubah kadar bahagiannya).
Hijab Hirman boleh berlaku kepada golongan-golongan berikut :
– Datuk (terhalang oleh bapa)
– Nenek (terhalang oleh ibu)
– Saudara-saudara perempuan seibu sebapa (terhalang oleh anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki atau bapa)
– Saudara perempuan sebapa (terhalang oleh dua orang saudara perempuan seibu sebapa) sekiranya tidak ada bersama-samanya saudara lelaki sebapa.
– Saudara lelaki atau perempuan seibu (terhalang oleh bapa, datuk, anak lelaki, anak perempuan, anak lelaki kepada anak lelaki, dan anak perempuan kepada anak lelak).
– Anak perempuan kepada anak lelaki (terhalang oleh dua orang anak perempuan) jika tidak ada bersamanya anak lelaki kepada anak lelaki.
– Anak lelaki kepada anak lelaki (terhalang oleh anak lelaki).
Hijab Nuqsan – Ahli waris akan menerima harta pusaka kurang sedikit dari sepatutnya kerana kehadiran ahli waris yang lain yang akan mengurangkan bahagian tersebut secara tidak mutlak (berubah dari segi kadar bahagiannya). Hajb Nuqsan boleh berlaku kepada lima orang golongan ashab al-furud.
– Suami (terhalang dari menerima 1/2 kepada ¼) kerana si mati mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan dan sama ada anak tersebut dengan suami ini atau suami lain.
– Isteri (terhalang dari menerima 1/4 kepada 1/8) kerana si mati mempunyai anak sama ada anak lelaki atau perempuan dan sama ada anak tersebut dengan isteri sekarang atau isteri-isteri terdahulu.
– Anak perempuan kepada anak lelaki (terhalang dari menerima 1/2 kepada 1/6) kerana si mati mempunyai seorang anak perempuan.
– Saudara perempuan sebapa (terhalang dari menerima 1/2 kepada 1/6) kerana si mati mempunyai seorang saudara perempuan seibu sebapa.
– Ibu (terhalang dari menerima 1/3 kepada 1/6) kerana si mati mempunyai anak lelaki atau perempuan, atau si mati mempunyai beberapa orang saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu.