Bagaimana Tahap Pengetahuan Masyarakat Tentang Faraidh ?

Allah swt telah berfirman di dalam Surah al-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud :

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah 2/3 dari harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah 1/2 (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati) tiap-tiap seorang dari keduanya 1/6 dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedangkan yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah 1/3. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik), maka bahagian ibunya ialah 1/6. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutang. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa yang di antaranya lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu, (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti diterangkan ialah) ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Di dalam al-Quran telah dijelaskan tentang kewajipan pengurusan harta pusaka atau faraidh apabila seorang anak Adam telah meninggal dunia dan mempunyai harta yang ditinggalkan.

Namun, bagaimana pengetahuan masyarakat kita tentang ilmu ini?

Bagaimana pula usaha yang perlu dilakukan supaya tidak ada yang terkecuali dalam meneliti ilmu yang sangat penting dan berguna dalam kehidupan kita kelak samada cepat atau lambat.

1) Melahirkan kesedaran kepada masyarakat

Masyarakat perlu didedahkan dengan ilmu faraidh lebih awal dan meluas. Ianya perlu dilakukan secara berterusan kerana masyarakat mungkin tidak berkesempatan untuk mengikutinya pada satu-satu masa yang telah ditetapkan. Contohnya setiap hujung minggu diadakan ceramah, seminar dan seumpamanya tentang pengetahuan menguruskan harta pusaka seperti wasiat, hibah dan sebagainya di masjid-masjid atau pusat-pusat yang menjadi tumpuan ramai orang. Sesuai dengan hujung minggu kebanyakan masyarakat sememangnya mempunyai masa terluang kerana cuti.

2) Mewujudkan undang-undang bertulis

Undang-undang bertulis harta pusaka perlu dilakukan bagi membantu pemahaman masyarakat tentang ilmu ini. Ia akan dijadikan panduan kepada mereka bagi menambahkan lagi pengetahuan tentang pentadbiran harta.

3) Mengkaji sebelum bertindak

Seeloknya setiap apa yang dipelajari haruslah dikaji dan diperiksa terlebih dahulu supaya tidak ada perkara yang diragui dan boleh menjejaskan ilmu tersebut. Lebih-lebih lagi berkaitan harta yang melibatkan hak ramai ahli dan penerima yang sepatutnya.

Undang-Undang Pusaka Islam harus dipelajari oleh masyarakat Islam kerana ianya jelas dan syumul daripada Allah swt. Jangan pernah serik menuntut ilmu selagi ia bermanfaat pada kita semua.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.