Seperti kita semua maklum, ahli waris yang layak dalam pewarisan harta pusaka telah ditetapkan bahagian dan kadar masing-masing. Namun begitu, Islam memberi ruang kepada ahli waris untuk menerima atau menolaknya melalui takharuj.
Apakah yang dimaksudkan dengan TAKHARUJ ?
Takharuj atau menarik diri daripada menerima harta pusaka peninggalan ahli keluarga yang telah meninggal dunia samada keseluruhan atau sebahagiannya. Dalam situasi takharuj, ahli waris yang layak menerima harta pusaka ingin menarik diri bagi memberi laluan kepada ahli waris yang lain yang lebih memerlukan atau sebab-sebab lain. Perkara ini dibenarkan di dalam pentadbiran harta pusaka.
Takharuj boleh dilakukan dengan bayaran tertentu atau tanpa bayaran. Jika ahli waris ingin mengenakan bayaran sebagai penarikan diri, ahli waris yang lain dibenarkan untuk membayarnya dari harta pusaka atau harta-harta lain.
Takharuj yang diiringi bayaran dibenarkan di sisi syarak selagi ianya mendapat persetujuan dan kerelaan hati dalam kalangan ahli waris yang lain. Ia dipanggil konsep akad mu’awadah.
Dalam pelaksanaan takharuj, terdapat tiga keadaan yang dapat membatalkannya.
– Keadaan hutang
Sekiranya si mati meninggal dunia dan mempunyai hutang yang banyak sehingga melebihi harta pusaka yang ditinggalkan. Pada yang sama, ahli waris tidak bersedia untuk membayar hutang-hutang tersebut maka bagi situasi ini, takharuj tidak dibenarkan dan terbatal.
– Tuntutan wasiat
Apabila terdapat tuntutan wasiat dalam pembahagian harta pusaka si mati, kadar dan bahagian sebenar yang bakal diterima setiap ahli waris akan berubah. Jadi takharuj tidak dibenarkan.
– Ahli waris ghaib
Semasa pembahagian harta pusaka atau takharuj, tiba-tiba muncul ahli waris yang tidak diketahui. Sekiranya kehadiran itu boleh mengubah bahagian dan hak ahli waris yang lain dalam harta pusaka tersebut, maka takharuj tidak boleh dilaksanakan.
Takharuj diwujudkan bagi memberi ruang dan keselesaan kepada ahli-ahli waris dalam pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan. Dengan adanya bayaran atau tanpa bayaran, ia memberi pilihan kepada ahli waris dalam membuat keputusan bagi kemudahan bersama. Apa jua keputusan yang dibuat, ianya telah mendapat kerelaan dan persepakatan oleh ahli-ahli waris yang lain samada melibatkan individu atau secara kumpulan.
Undang-Undang Islam tidak pernah menyakiti umatnya malah memudahkan lagi urusan masyarakat Muslim. Semua pada diri individu itu untuk menguruskannya dengan baik amanah yang telah ditinggalkan.