Dalam Islam, hibah termasuk dalam konsep pemilikan harta sama seperti wasiat, wakaf dan faraidh. Namun masing-masing mempunyai ciri-ciri dan konsep yang berbeza. Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud :
“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” – Surah al-Baqarah ayat 177
Selain dari al-Quran, hibah juga disebut di dalam hadis Rasulullah saw iaitu Siadatina Aisyah berkata,
“Nabi SAW menerima dan membalas hadiah.” – Hadis riwayat at-Tirmizi
Antara keistimewaan apabila memberi hibah :
1 ) TIdak ada had pemberian kepada individu
Hibah tidak terhad diberikan kepada sesiapa sahaja tidak kira bangsa, agama, jantina mahupun kerabat atau bukan. Ianya berbeza dengan faraidh yang mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu hanya kepada ahli waris yang layak sahaja.
2 ) Tidak ada had jumlah pemberian
Individu tidak akan terikat dengan jumlah dalam pemberian hibah kerana kita bebas memberikan berapa sahaja jumlah hibah kepada individu yang kita inginkan. Berbeza dengan wasiat yang hanya dibenarkan sebanyak 1/3 daripada keseluruhan harta.
3 ) Tidak ada syarat penentuan penerima
Hibah boleh diberikan kepada sesiapa yang diinginkan oleh pemberi hibah. Pemberi hibah bebas untuk menentukan sendiri kepada siapa hibah akan diagihkan. Ini bersesuaian dari segi ekonomi dan keperluan individu kerana keperluan setiap orang adalah berbeza.
Tetapi ada persoalan yang mengatakan, adakah pemberi hibah dibenarkan untuk menarik balik setelah hibah dilakukan?
- Perkara ini telah menjadi perselisihan dalam kalangan fuqaha’. Menurut pendapat mazhab Hanafi, hukumnya adalah makruh sekiranya pemberi hibah menarik balik hibah yang telah diberikan. Pemberi hibah boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd) melainkan sekiranya hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).
- Berbeza pula pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki iaitu pemberi hibah boleh menarik balik hibahnya. Tetapi hanya sekiranya ijab dan kabul yang berlaku tanpa ada penyerahan harta hibah. Namun, sekiranya penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) telah berlaku, maka hibah tersebut tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan golongan yang lain) kepada anak-anak mereka.
- Bagi pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dilakukan kecuali hibah bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan golongan yang lain) kepada anak-anak mereka. Perkara ini dibuat berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya”. – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Hibah sangat sesuai dipraktikkan oleh setiap lapisan masyarakat sebagai pelengkap kepada sistem pengurusan harta dalam Islam. Selain itu, hibah juga dapat membantu golongan yang memerlukan di luar sana.
