Bukankah berpuasa menambahkan lagi pahala umat Islam kerana menunaikan rukun Islam ketiga. Firman Allah swt di dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa”.
Mengapa seseorang itu berpuasa tetapi mengalami kerugian ?
Sebelum itu, puasa itu apa? Adakah dengan hanya menahan lapar dan dahaga ?
Menurut perspektif Islam, puasa bermaksud menahan diri. Menahan diri daripada mengambil sebarang makanan atau minuman dan melakukan perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa (muntah dengan sengaja, dll). Tempoh masa individu Muslim berpuasa adalah bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Banyak amalan-amalan yang dapat kita praktikkan di bulan-bulan lain dan gandakan lagi saat menjelang Ramadhan kerana ganjaran yang berlipat kali ganda.
Tetapi mengapa Muslim yang berpuasa itu dikatakan golongan yang “RUGI” ??
![]()
1 – Bangun sahur tetapi tidak menunaikan 2 rakaat solat sunat.
- Sahur adalah antara perkara sunat dalam menunaikan ibadah puasa. Meskipun hukumnya sunat, jika seseorang itu bersahur (walaupun seteguk air), dia akan memperoleh keberkatan dalam ibadah puasanya berdasarkan hadith Rasulullah saw, daripada Anas r.a., bahawa Rasulullah saw bersabda : “Hendaklah kamu semua makan sahur, sesungguhnya dengan bersahur itu akan beroleh keberkatan” – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
- Begitu juga amalan sunat menunaikan solat 2 rakaat apabilabangun sahur. Amatlah rugi seseorang yang bangun sahur tetapi tidak melakukannya kerana pahalamendekatkan diri kepada Allah swt.
2 – Meninggalkan Ramadhan tanpa bersedekah
- Sedekah merupakan aset bagi seorang Muslim. Sedar atau tidak kita, hanya tiga amalan yang kita akan bawa setelah meninggal dunia. Salah satunya adalah sedekah jariah. Betapa tingginya kedudukan sedekah lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan.
- Bersedekahlah mengikut kemampuan masing-masing. Tidak semestinya dengan mewakafkan sesuatu, membina masjid dan seumpamanya. Cukuplah dengan memberi makan berbuka kepada mereka yang memerlukan. Sekurang-kurangnya kita telah menghadiahkan sebuah keceriaan buat mereka dengan berkongsi juadah berbuka. Islamitumudah. Allah tidak menilai harga kita bersedekah tetapi usaha kita dalam melaksanakannya dan niat yang ikhlas hanya kepada-Nya.
3 – Tidak memohon doa saat menunggu waktu berbuka
- Antara waktu mustajab doa adalah sewaktu menunggu waktu berbuka. Sedang kita semua sibukmenyiapkan juadah berbuka, selitkan sedikit masa memanjat doa kepada Allah swt. Hadis Rasulullah saw ada mengatakan bahawa, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak” – Hadis Riwayat Ibnu Majah.
4 – Menjalani hari-hari berpuasa dengan hanya berbaring dan tidur
- Mungkin bagi sesetengah individu, berpuasa itu penat kerana tidak makan dan minum. Namun, ia bukanlah alasan untuk kita bermalasan sepanjang hari dengan hanya berbaring dan tidur. Rugi seseorang jika tidak dimanfaatkan waktu sepanjang puasa sebaiknya seperti melakukan perkara berfaedah seperti mengemas rumah, membaca menambahkan ilmu pengetahuan, membantu ibubapa dan sebagainya. Jangan membazirkan waktu yang ada di sepanjang bulan mulia ini kerana hanya sekali setahun dan kitatidak pasti samada masih bertemu dengan Ramadhan seterusnya.
5 – Tidak membaca atau mendengar al-quran
- Al-quran merupakan kalam Allah swt dan panduan bagi umat Islam. Jadikan amalan membaca al-quran satu juzuk sehari supaya dapat khatam 30 juzuk dalam masa 30 hari. Firman Allah swt di dalam Surah Faatir ayat 29-30 yang bermaksud,
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (al-quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).”
- Rasulullah saw mengatakan bahawa seseorang yang membaca al-quran mempunyai kedudukan yang tinggi di syurga Allah swt.
Berpuasa bulan Ramadhan adalah wajib kepada seluruh umat Islam. Manfaatkan sebulan ini sebaiknya kerana Ramadhan hanya sekali setahun. Kita tidak tahu bila kita akan dijemput ilahi dan adakah masih berpeluang bertemu Ramadhan akan datang. Sama-sama muhasabah diri.
