7 Inisiatif Bebas Hutang

Masyarakat sekarang sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sehingga sanggup berhutang. Duit sememangnya keperluan individu pada zaman sekarang tetapi duit bukanlah segala-galanya. Tidak perlu terlalu mengejar kemewahan sehingga ada yang terpaksa berhutang untuk memenuhi kemahuan tersendiri.

Sebenarnya, jika dilihat dari satu sudut, masyarakat berhutang untuk memiliki kehidupan yang mewah dan menujuk-nunjuk dengan kekayaan yang ada seperti rumah besar bertingkat-tingkat, kereta mewah, pakaian yang ada jenama dan seumpama dengannya. Namun, kewangan jika diurus dengan baik dan teliti, seseorang tidak akan mudah terjerumus dengan hutang.

7 tips yang saya akan kongsi untuk mengurangkan hutang dan seterusnya sifar hutang.

Tips 1 # Jangan menambah hutang

Cuba untuk tidak terbiasa dengan hutang. Jangan mulakan dengan berhutang. Andai kata kita menginginkan sesuatu tetapi tidak cukup duit, bermakna kita belum mampu untuk memilikinya. Bersabarlah. Sentiasa berusaha untuk mendapatkan duit dan kumpul sehingga cukup barulah beli apa yang diingini. Nafsu membeli harus dididik untuk kebaikan diri kita sendiri.    

Tips 2 # Membuat catatan hutang semasa

Catat segala hutang yang ada. Catatan membantu seseorang untuk lebih peka dan teliti dengan hutang supaya tidak terlupa. Apabila membuat catatan, kita akan selalu sedar tentang hutang dan berusaha untuk selesaikannya.

Tips 3 # Tidak menangguh bayaran hutang

Hutang mestilah dijelaskan secepat mungkin. Jangan sesekali menangguh bayaran kerana semakin lama semakin berat untuk kita bayar disebabkan faktor kewangan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan kewangan pada masa akan datang, adakah sama atau mungkin lebih teruk? Jika sudah ada wang lebihan, segerakan membayar hutang sebelum berbelanja untuk benda lain.

Tips 4 # Bayar hutang secara berperingkat

Bayar secara berperingkat dengan mengasingkan antara hutang amaun kecil dan amaun besar. Selesaikan amaun besar terlebih dahulu contohnya, hutang kad kredit lebih banyak peratus dalam setahun berbanding kereta atau hutang rumah dan sebagainya. Hutang rumah boleh diselesaikan paling lambat kerana di bawah kategori hutang yang memberi manfaat pada kita.

Tips 5 # Tidak bekukan hutang   

Pembekuan hutang berlaku apabila kita meminjam dan tidak menukarkannya kepada harta atau faedah kepada kita atau melaburkan hutang kepada perkara-perkara yang tidak menguntungkan. Sepatutnya, berhutang untuk mendapatkan keuntungan di masa hadapan. Sebagai contoh, berhutang RM100,000 untuk memulakan perniagaan ayam segar. Jadi dalam satu tempoh masa, ia akan memberi pulangan kepada diri sendiri dan dapat membayar hutang tersebut.

Tips 6 # Lepaskan benda yang tidak mendatangkan kebaikan

Tanpa sedar, banyak yang telah kita bazir dengan benda yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, menggunakan kereta mewah lebih dari satu buah. Hidup mewah dalam berhutang langsung tidak mendatangkan apa-apa kebaikan malahan menyusahkan kita. Eloknya bertukar kepada kereta biasa kerana tujuan asal hanya pengangkutan, untuk memudahkan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dengan melepaskan kereta mewah akan megurangkan perbelanjaan bulanan kerana lebih murah.

Tips 7 # Guna bonus tahunan untuk membayar hutang

Jika anda seorang yang berkerjaya, manfaatkan bonus tahunan. Korbankan sedikit untuk membayar hutang. Contohnya, bahagikan bonus tersebut iaitu separuh untuk hutang, separuh untuk keperluan. Setelah selesai semua hutang, anda bebas untuk menggunakan bonus tahunan dengan tenang tanpa perlu memikirkan hutang tertunggak.

Yakinlah kehidupan anda akan lebih selesa tanpa hutang. Lakukan tindakan bijak dalam menguruskan kewangan anda. Tips telah dikongsi, pilihan di tangan anda. Semoga bermanfaat untuk semua dalam usaha untuk bebas dari hutang.                                                  

Leave a Reply

Your email address will not be published.