Pendapatan Bukan Hanya Pada Gaji ?

Gambar hiasan

Tahukah anda?

Terdapat banyak sumber pendapatan individu selain dari gaji. Gaji adalah bayaran berbentuk wang yang akan diterima setiap pekerja dari majikan masing-masing berdasarkan tempoh tertentu seperti perjanjian yang telah dilakukan. Semua orang sinonim dengan gaji kerana ramai individu menerima gaji.

Tetapi sedarkah anda selain dari hanya menerima gaji, anda boleh mendapatkan pendapatan melalui platform yang berbeza dan betul di sisi agama. Apakah platform itu?

1) Barang Terpakai

Barang terpakai boleh menjadi sumber pendapatan anda kerana masih mempunyai nilai yang tersendiri. Mungkin harga lebih rendah berbanding yang baru tetapi bukan satu penghalang untuk melakukan jualan barang terpakai. Sebagai contoh, di Kelantan, seorang peniaga barangan terpakai memperoleh jualan sebanyak RM100,000 dalam masa seminggu. Dia hanya menjual barangan terpakai seperti perabot, tilam, basikal, barangan elektrik dan alat permainan kanak-kanak dan menggunakan konsep jualan lelong secara murah.

2) Kad Kredit

Kad kredit ialah kad yang digunakan sebagai medium pembayaran apabila berlaku transaksi antara pengguna dan penjual berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Kad kredit terbahagi kepada dua iaitu kad kredit rebat tunai dan kad kredit ganjaran. Rugi jika anda tidak tahu kebaikan kad kredit ini.

Kad kredit rebat tunai menjanjikan pulangan wang tunai apabila berbelanja mengikut peratus yang telah ditetapkan. Contohnya, kad yang menawarkan 1% rebat tunai bermaksud apabila anda berbelanja dengan RM500, anda akan mendapat pulangan sebanyak RM5.

Berbeza dengan kad kredit ganjaran, ia akan memberi pulangan dalam bentuk mata, bukan wang tunai. Contohnya kad ganjaran petronas. Setiap kali isi minyak, anda akan peroleh beberapa mata berdasarkan jumlah pengisian. Sampai pada satu masa, petronas akan mengadakan ganjaran tertentu atau anda boleh menebus mata tersebut dengan mengisi minyak secara percuma berdasarkan terma dan syarat.

3) Internet

Internet ialah satu sistem komputer yang menghubungkan antara satu rangkaian dengan rangkaian yang lain bagi memudahkan urusan. Banyak cara yang dapat membantu anda untuk peroleh pendapatan melalui internet seperti jualan online. Anda boleh menjual pakaian, barangan seperti kipas, beg atau makanan. Ramai anak tempatan yang telah berjaya menggunakan platform internet sebagai sumber penadapatan kerana tidak terikat dengan waktu bekerja pejabat. Masa dan tempat yang bebas membuatkan kita selesa dan seronok untuk melakukan pekerjaan.

4) Pelaburan

Pelaburan ialah satu aktiviti yang memerlukan komitmen dari individu itu sendiri. Ia seperti meletakkan duit atau modal untuk membeli sesuatu aset atau instrumen kewangan bagi tujuan mendapatkan pulangan seperti pendapatan, faedah atau pertambahan nilai aset. Pelaburan sangat bagus untuk menjana pendapatan tetapi sebelum terlibat dalam pelaburan, anda mestilah melakukan kajian menyeluruh tentang pelaburan yang ingin diceburi. Modal mesti cukup kerana melibatkan modal yang kecil atau besar. Konsep pelaburan ialah “semakin tinggi modal yang dikeluarkan, semakin tinggi risiko yang bakal dihadapi”. Belajarlah dari manusia terkaya di dunia, Warren Buffet yang bermula dengan pelaburan seawal usia 11 tahun.

Duit tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Orang yang rajin akan mendapat pulangan yang setimpal dengan usahanya. Luaskan pemikiran tentang sumber pendapatan tidak hanya terikat pada gaji semata-mata. Semoga kita semua beroleh kejayaan dan dikurniakan rezeki dengan redha Allah swt.

Leave a Reply

Your email address will not be published.