Al-Mafqud vs MH370

Al-mafqud atau individu yang hilang dalam tempoh yang lama tanpa khabar berita dan tidak jelas samada masih hidup atau telah meninggal dunia.

Antara tragedi terbesar di Malaysia melibatkan al-Mafqud adalah kehilangan pesawat MH370. Malaysia telah digemparkan dengan satu tragedi pada tahun 2014 yang melibatkan pesawat milik sistem penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 mac 2014. Pesawat MH370 dikatakan hilang dari radar bersama-sama 239 penumpang pada waktu itu.

Setelah bermacam cara dilakukan oleh kerajaan Malaysia, namun pencarian masih tidak menjumpai pesawat tersebut dan isu ini menjadi sebutan ramai kerana memakan masa yang panjang.

Perkara ini dikategorikan sebagai al-mafqud kerana tidak ada penemuan yang jelas mengenai keberadaan pesawat dan para penumpang yang terlibat. Pada November 2014, Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah memberi pandangan mengenai kedudukan MH370 tetapi masih belum dimuktamadkan dan mereka hanya meletakkan kepercayaan kepada kerajaan Malaysia bagi menentukan setiap status mengenai tragedi tersebut.

Gambar Hiasan

Setelah hampir setahun pencarian dijalankan, pada Januari 2015, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai status para penumpang MH370. Kerajaan Malaysia mengisytiharkan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 telah terkorban dalam tragedi kehilangan pesawat itu (disahkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa).

Selari dengan pengumuman tersebut, status para penumpang pesawat MH370 diambil dari persepakatan Majlis Fatwa Kebangsaan. Berkenaan isu al-mafqud di Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan dua fatwa mengenainya.

1 ) Fatwa pertama telah dikeluarkan pada tahun 1990. Fatwa ini dikeluarkan mengenai tragedi rempuhan para jemaah haji di Terowong al-Muassim yang berlaku pada musim haji tahun 1990. Tragedi ini melibatkan 19 orang jemaah haji Malaysia telah hilang di dalam terowong tersebut. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa jemaah haji Malaysia yang hilang dianggap sebagai mati mafqud atas alasan berikut ;

  • Telah habis usaha mencari mereka yang hilang.
  • Tidak ada bukti atau sangkaan yang jelas bahawa mereka masih hidup dan bersembunyi di mana-mana tempat di Arab Saudi. Dan tidak ada bukti menunjukkan mereka telah keluar dari negara itu lalu ke sebuah negara lain dan bersembunyi di sana.
  • Mereka yang hilang itu bukan dari orang yang mencari peluang untuk melarikan diri dari negara ini (Malaysia).

2 ) Fatwa kedua pula telah dikeluarkan semasa tragedi MH370. Fatwa ini wujud selari dengan isu yang timbul mengenai status para penumpang pesawat MH370.

Berkenaan isu ini, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan telah berpendapat yang diambil daripada pendapat Ibn Qudamah di dalam kitabnya yang bertajuk Al-Mughni. Jelasnya, al-mafqud boleh dibahagikan kepada dua kategori dan hukum kedua-duanya adalah berbeza.

Hukum pertama, mafqud secara zahir. Mafqud secara zahir bermaksud kejadiannya atau perbuatannya jelas telah terkorban. Peratus bagi mafqud ini lebih kepada dianggap telah terkorban. Contohnya orang yang hilang dalam suatu bencana.

Hukum kedua, mafqud yang secara zahir masih hidup. Maksudnya kejadian dan perbuatannya itu masih ada harapan untuk hidup. Sebagai contoh seseorang yang keluar dari rumahnya untuk berniaga atau melancong tetapi tidak kembali pulang ke rumahnya.

Dalam kes MH370, muzakarah berpendapat bahawa isu ini sesuai dikaitkan dengan hukum mafqud yang pertama iaitu mafqud secara zahir. Ini kerana pesawat yang hilang di lautan yang sangat luas dan dalam menghadapi kesukaran untuk ditemukan. Begitu juga mayat para penumpang. Tiada lagi kebarangkalian yang mungkin ada untuk para penumpang hidup. Jadi, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bersetuju dengan keputusan kerajaan Malaysia bahawa para penumpang dan anak kapal pesawat MH370 boleh dianggap telah meninggal dunia.

Tidak dinafikan, tragedi pesawat MH370 meninggalkan impak yang amat besar kepada negara kita kerana ia melibatkan ratusan nyawa yang terkorban. Walaupun ianya hakikat yang sukar diterima semua rakyat terutama ahli keluarga para penumpang, namun ianya harus diterima dengan lapang dada.

Leave a Reply

Your email address will not be published.