
Kad kredit merupakan kemudahan pembayaran kepada pengguna dalam urusan jual beli yang membolehkan mereka melakukan transaksi tanpa menggunakan tunai dan sesetengah kad kredit mengenakan cas yang telah dipersetujui. Ia lebih kepada memudahkan pengguna tanpa perlu membawa tunai jika ingin berurus niaga dalam amaun yang banyak. Namun jika tidak dikawal dengan betul, kad kredit yang asalnya kawan boleh jadi musuh kepada kita.
Bagaimana kad kredit berperanan sebagai kawan dan lawan? Di sini saya kongsikan sedikit pencerahan.

1# Kemudahan
Kad kredit sangat mudah untuk dibawa kerana fizikalnya yang kecil dan ringan. Ia juga komoditi yang senang bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun pada sisi yang berbeza, kad kredit mengajar kita untuk berhutang kerana sangat mudah melakukannya. Hulur sahaja kad, pembelian anda selesai. Ia menjadikan kita leka dengan perbelanjaan tanpa sedar kerana bersifat hutang. Kad kredit akan membayar dahulu bagi pihak kita dan hujung bulan akan dikeluarkan bil bulanan. Konsep seperti ini sangat bahaya kerana “beli dahulu, bayar kemudian”.
Ia juga merupakan kemudahan untuk pembelian online kerana hanya perlu masukkan nombor sahaja. Tidak perlu lagi keluar dan pergi ke kedai tersebut. Namun ada kuburukannya juga iaitu kita hanya melihat gambar bukan reliti barangan tersebut. Boleh jadi warna tidak sama seperti gambar, jenis barang yang dipesan berlainan, rosak kerana pengeposan dan sebagainya. Pelbagai risiko boleh terjadi melalui pembelian secara online.

2# Keselamatan
Dari segi keselamatan, kad kredit lebih terjamin kerana tiada kerugian dana selepas pembelian palsu. Apabila pencuri dapat akses ke akaun anda, mereka hanya menunggu laporan penipuan dan gantikan dana yang telah digunakan.
Selain itu, dengan kad kredit kita hanya membawa beberapa keping kad sahaja di dalam dompet. Ia lebih selamat berbanding tunai. Contohnya anda membawa wang tunai RM10,000 di dalam dompet pada satu masa sangat berisiko untuk dirompak. Pada masa yang sama, kad kredit juga berisiko untuk hilang disebabkan fizikalnya yang kecil dan senang untuk hilang atau tertinggal di mana-mana.

3# Masa
Kelebihan kad kredit ialah berkeupayaan untuk membayar secara ansuran. Seeloknya, anda hendaklah membuat bayaran baki kad kredit setiap bulan tetapi istimewanya kad kredit beri anda kelonggaran untuk melakukan pembayaran mengikut tempoh masa yang telah dijanjikan. Kebiasaannya pengecualian diberikan pada kad caj kerana anda tidak boleh lari untuk membayar sepenuhnya. Ini kerana ia menjaga kad anda sebaik mungkin tanpa disekat.
Menjimatkan masa dan tenaga. Kita ambil situasi mengisi minyak. Anda tidak perlu ke kaunter untuk membayar jumlah isian minyak jika menggunakan kad kredit. Hanya leretkan kad di ruang yang disediakan dan sedia untuk isi. Tetapi ada juga keburukannya seperti tertinggal kad di mesin isian minyak. Berkemungkinan orang seterusnya boleh menggunakan kad anda dan berlaku penipuan serta kecurian kerana kelalaian tersebut.
Setiap ciptaan manusia semestinya ada kekurangan dan kelebihan yang tersendiri kerana sifat manusia yang tidak sempurna. Kita yang harus menggunakannya sebaik mungkin supaya tidak salah dalam tindakan. Sama-sama manfaatkan penggunakan kad kredit secara berhemah.