Ujian dan Anugerah

Setiap yang hidup dan bernyawa adalah ujian dan anugerah. Manusia tidak dapat menolak dari ujian Allah swt. Ramai yang berfikiran ujian itu berat dan tidak sanggup untuk laluinya bahkan menganggap tidak adil apabila melihat orang lain tidak diuji seperti mereka.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Peribahasa ini sesuai dengan sifat manusia yang sering beranggapan orang lain mempunyai kelebihan berbanding diri sendiri yang serba kekurangan. Hidup ini jika asyik menilai tentang sekeliling, sampai bila-bila pun tidak pernah cukup kerana sifat manusia yang iri hati dengan kesenangan orang lain.

Adakah harta dan kekayaan merupakan ujian dan anugerah kepada manusia?

1) Ujian dan Anugerah

Allah swt telah menetapkan harta bagi setiap manusia itu sejak azali lagi. Kaya atau miskin seseorang adalah anugerah dari Allah swt kepada hamba-hambanya. Kemuliaan seseorang tidak dinilai dari berapa banyak harta yang dimiliki sepanjang hidup di dunia tetapi melalui ketaqwaan kepada yang Maha Esa. Jadi apa jua kedudukan dan kekayaan yang kita miliki jangan pernah merasa hebat kerana ia hanyalah ujian dari Allah swt untuk melihat bagaimana kita menguruskan kekayaan tersebut. Adakah pada jalan yang benar atau sebaliknya.

Begitu juga pada yang kurang dari sudut harta, Allah swt ingin memberi sedikit ujian kepada mereka dalam menanganinya. Sebaik-baik insan adalah mereka menerima ujian dengan hati yang ikhlas dan redha tanpa mengeluh dan menidakkannya. Contohnya ujian melalui kejayaan di dalam perniagaan. Jangan pernah bongkak dengan kemewahan yang dikecapi kerana dalam rezeki kita, terdapat juga hak orang lain yang wajib dilaksanakan seperti zakat.

2) Pinjaman semata-mata (Amanah)

Kekayaan di dunia hanya pinjaman dari Allah swt. Ia bersifat sementara. Jika Allah swt menginginkannya kembali, bila-bila masa sahaja Dia boleh menariknya daripada kita. Semakin banyak kekayaan yang kita dapat di dunia, semakin besar tanggungjawab yang dipikul. Begitu juga di akhirat, semakin banyak harta yang ada pada diri seseorang, semakin lama urusan pengiraannya kelak.

Jadi jalankan amanah sebaik mungkin walaupun anda bukan jutawan. Setiap harta yang ada pada diri seseorang akan dipertanggungjawabkan di akhirat walaupun sebesar zarah.

3) Hiasan Dunia

Harta merupakan hiasan dunia dalam kehidupan setiap manusia. Kekayaan atau kemiskinan ialah corak dan warna-warni kehidupan di dunia yang penuh liku-liku. Kerana itu manusia mudah terpedaya dengan kemewahan dan lupa pada yang memberi segala nikmat. Surah Al-‘Alaq ayat 6-7 telah berpesan kepada semua iaitu :

“Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya”.

Salurkan harta dan kekayaan anda pada saluran yang betul kerana setiap apa yang anda lakukan di dunia akan menjadi sebab untuk dihisab di akhirat. Manfaatkan harta yang Allah kuniakan sebaik-baiknya kerana ramai yang mengimpikan untuk berada dalam situasi anda. Tunaikan tanggungjawab dan amanah melalui harta tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.