Menguruskan harta seseorang yang hilang (al-mafqud) berbeza dengan pewarisan harta pusaka biasa. Status yang tidak jelas menjadikan harta tersebut tidak dapat diagihkan dan ia boleh jadi kepada pembekuan harta sekiranya dibiar dalam tempoh yang terlalu lama.
Namun, terdapat kelebihannya dalam menguruskan harta al-mafqud ini.
1 ) Membanteras Kemiskinan
- Ramai masyarakat Muslim yang tergolong dalam kategori kurang berkemampuan. Tidak salah kita membantu sesama Muslim kerana setiap Muslim itu bersaudara kerana dari tunjang agama yang sama. Dengan bayaran zakat yang dikenakan ke atas harta al-mafqud sedikit sebanyak dapat membantu golongan kurang berkemampuan dalam meneruskan hari-hari mereka. Perkara ini dapat membendung gejala-gejala yang tidak diingini seperti masalah sosial, tidak berpeluang dalam pendidikan dan sebagainya. Golongan ini akan memanfaatkan harta tersebut dan juga dalam masa yang sama melahirkan masyarakat yang harmoni kerana saling bantu-membantu.
2 ) Peluang Pendidikan
- Dari segi pendidikan, harta al-mafqud dapat disalurkan kepada badan-badan yang bermanfaat buat seluruh masyarakat seperti penubuhan sekolah-sekolah agama, universiti dan sebagainya. Selain itu, ia juga boleh dijadikan bantuan kewangan bagi sesetengah pihak atau ahli keluarga al-mafqud sendiri yang ingin melanjutkan pelajaran. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu insan lain yang inginkan pendidikan tetapi tidak berkemampuan dalam menampungnya.
3 ) Perkembangan Ekonomi
- Menguruskan harta al-mafqud dengan betul seperti membayar zakat, cukai, melunaskan hutang-hutang tertunggak dan sebagainya dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Ekonomi akan lebih kukuh dengan adanya peningkatan pasaran dan permintaan masyarakat. Majoriti masyarakat Malaysia adalah beragama Islam, jadi dalam masa yang sama kita membantu masyarakat kita lebih kukuh dari segi ekonomi masing-masing. Dengan menguruskan harta al-mafqud dengan betul dapat memperkasa ekonomi umat Islam dan menjadikan Negara Islam tergolong dalam negara-negara maju.
Sungguhpun harta al-mafqud boleh diagihkan selepas mempunyai bukti yang jelas mengenai kematiannya, harta tersebut hendaklah diuruskan sebaik mungkin kerana ramai pihak yang dapat menerima manfaat daripada harta tersebut. Jangan sesekali menafikan hak orang lain di dalam harta kita.
