
Tabung Haji merupakan satu inisiatif yang diwujudkan bagi para jemaah agar dapat menunaikan ibadah ke Tanah Suci dengan sempurna, dan bertepataan dengan konsep Islam sebagai “Addeen” agama untuk dunia dan akhirat.
Ibadah Haji merupakan Rukun Islam yang ke-5 dan diWAJIBkan kepada mereka yang berkemampuan. Pelbagai kaedah tradisional menyimpan wang telah digunakan jemaah untuk pergi menunaikan haji. Ada yang sanggup menjual ternakan, harta benda warisan keluarga bagi mencukupkan perbelanjaan mereka ke Tanah Suci Mekah.
LTH atau Lembaga Tabung Haji yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau LUTH adalah berperanan bagi menguruskan perjalanan jemaah haji dari Malaysia untuk ke Mekah pada setiap tahun. Jadi dengan adanya Tabung Haji ini, ianya dapat membantu mereka menyimpan wang sedikit demi sedikit tanpa melibatkan perkara-perkara yang haram atau pun mempunyai unsur riba’.
Pada bulan November tahun 1962, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji mula ditubuhkan serta beroperasi pada tarikh 30 September tahun 1963. Ianya wujud daripada hasil penerimaan kertas kerja Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji” pada tahun 1959.

Bagi meningkatkan perkhidmatan serta kemudahan terdapat bakal haji, perbadanan ini telah dicantumkan bersama Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dalam tahun 1969. Maka dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau secara ringkasnya dipanggil Tabung Haji (TH) yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.
Antara tujuan Tabung Haji utama ini diwujudkan adalah,
- Membolehkan mereka menyimpan wang secara beransur-ansur untuk perbelanjaan bagi menunaikan fardhu haji atau lain-lain yang bermanfaat.
- Penyimpanan wang yang mengikut hukum syarak dan tiada bersifat riba’.
- Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan terhadap jemaah haji yang menunaikan fardhu haji dengan menadakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan.
- Dapat melakukan penanaman modal dengan cara yang halal di sisi Islam.
- Tabung Haji menetapkan matlamatnya dengan memberi perkhidmatan yang baik, sempurna dan amat memuaskan kepada fardhu haji serta memberi keuntungan yang tinggi kepada para pendeposit atas penyimpanan wang mereka.
- Ditubuhkan bukan semata-mata untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci sahaja, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternative kepada umat Islam di Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam.
Sebenarnya sebagai sebuah badan yang berunsurkan korporat. Tabung Haji amat peka dengan perkembangan serta perubahan yang melanda dunia era 90an, demi menjamin kesinambungan daya saingnya dalam era globalisasi, satu kajian telah dilakukan pada 1995 bagi meluaskan lagi skop peranan Tabung Haji. Dari itu, pada tarikh 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasa yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997 dan serentak dengan itu, huruf TH juga diperkenalkan sebagai satu singkatan nama bagi menggantikan perkataan Tabung Haji.
Itu serba sedikit perkara asas membabitkan Tabung Haji yang seharusnya kita sebagai muslim di Malaysia wajib ambil tahu.