Apabila seorang individu telah meninggal dunia dan dalam masa yang sama meninggalkan harta, adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga untuk selesaikan segala urusan berkaitan dengan harta tersebut. Setiap urusan yang dilakukan mestilah mengikut susunan dan tuntutan dengan betul supaya tidak tercicir hak-hak individu yang sepatutnya.
Susunan bagi pengagihan harta bagi individu yang telah meninggal dunia adalah seperti berikut :
1 ) Menunaikan segala kewajipan
Kewajipan bagi Muslim adalah zakat, kaffarah atau penalti untuk sumpah, zihar, dan lain-lain sekiranya perlu. Ahli waris wajib melunaskan segala kewajipan ini jika individu tersebut terlibat di dalam mana-mana keperluan di atas kerana ia menjadi tanggunjawab ahli waris.
2 ) Membayar perbelanjaan pengebumian
Menjadi kebiasaan apabila meninggal dunia, akan ada kos dalam menguruskan jenazah seperti kain kafan, kapur barus, sabun dan sebagainya. Individu bertanggungjawab mestilah menggunakan harta yng ditinggalkan untuk membayar segala keperluan perbelanjaan pengebumian jenazah sebelum mengagihkan kepada urusan lain.

3 ) Membayar hutang
Hutang yang masih tertunggak harus diselesaikan terlebih dahulu. Samada ia disenaraikan atau tidak, ia wajib dilunaskan oleh ahli keluarga kerana hutang adalah harta milik individu yang memberi hutang. Berdosa jika tidak mengembalikan hak mereka melainkan telah diikhlaskan.
Hutang individu termasuk juga mengerjakan haji sekiranya individu tersebut belum menunaikan tanggungjawab rukun islam kelima sepanjang hayatnya. Jadi ahli keluarga hendaklah melaksanakan rukun islam tersebut bagi pihak si mati dengan upaya sendiri atau menghantar wakil untuk melaksanakannya. Segala kos dan perbelanjaan melibatkan haji adalah termasuk dalam harta yang ditinggalkan.
Begitu juga bayaran mahar. Sekiranya individu belum membayar mahar pernikahannya, ahli keluarga wajib membayarnya.
4 ) Menyampaikan wasiat
Wasiat adalah bukan untuk ahli waris. Hendaklah diserahkan kepada individu yang sepatutnya dan jumlah mestilah tidak lebih daripada 1/3 harta yang ada setelah diselesaikan urusan sebelumnya iaitu membayar kewajipan, pengebumian dan hutang si mati.
5 ) Mengagihkan baki harta
Baki harta yang tinggal setelah dilaksanakan kesemua tanggungjawab si mati seperti bayaran kewajipan, perbelanjaan pengebumian, segala hutang dan wasiat barulah diagihkan kepada ahli waris atau keluarga. Ahli waris akan menerima harta mengikut status masing-masing seperti ibubapa, suami, isteri, anak-anak dan lain-lain.
Uruslah aset atau harta individu yang telah meninggal dunia sebaik-baiknya kerana ia akan telah dipertanggunjawabkan ke atas diri ahli keluarga. Berdosa besar jika menggunakan harta yang bukan milik kita sepenuhnya.
