Wasiat : Ramai Terlepas Pandang

Wasiat adalah salah satu peninggalan yang boleh dilakukan sebagai persediaan menjelang kematian. Untuk melakukan wasiat, individu mestilah mengambil pelaksana bagi menguruskan wasiat tersebut untuk diserahkan kepada penerima manfaat yang telah dibuat.

Wasiat bukan sahaja berbentuk harta atau aset seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rumah, takaful dan lain-lain. Wasiat juga boleh diberikan dalam apa jua bentuk selagi ia berharga, mempunyai nilai atau memberi manfaat dan kebaikan kepada individu lain.

 

Melantik penjaga bagi penerima manfaat yang masih kecilĀ 

Individu atau golongan yang bakal menerima harta wasiat dipanggil penerima manfaat. Seandainya penerima manfaat masih kecil dan bawah umur, diwajibkan untuk mempunyai penjaga kerana masih belum layak memegang harta. Apa sahaja bentuk wasiat, individu boleh melantik mana-mana penjaga bagi menguruskan harta penerima manfaat yang masih kecil kerana mereka belum dapat menguruskannya lagi disebabkan faktor umur.

 

Pembatalan wasiat terdahulu

Individu boleh melaksanakan wasiat baru apabila berlaku pembatalan wasiat terdahulu kerana tujuan-tujuan tertentu. Ini kerana wasiat adalah hak pemilik harta itu sendiri dan selagi dia belum meninggal dunia, wasiat belum lagi berkuasa ke atas penerima walaupun ia telah dibuat. Kembali kepada konsep wasiat iaitu dibuat ketika hayat dan hanya sah selepas kematian.

 

Pendermaan organ

Pendermaan organ adalah salah satu wasiat yang boleh dibuat. Organ yang masih boleh digunakan akan memberi manfaat kepada individu yang memerlukannya. Orang yang telah diberi amanah menguruskan wasiat wajib menguruskannya jika individu berwasiat untuk mendermakan mana-mana organ miliknya seperti buah pinggang, hati atau lain-lain. Nilai murni yang ditunjukkan oleh individu tersebut harus dilaksanakan kerana itu salah satu ibadah yang ingin disumbangkan buat kali terakhir.

 

Wasiat boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja selagi individu masih bernyawa kerana wasiat dilakukan semasa hayat. Namun ianya sah selepas kematian sahaja. Perlakukan wasiat dengan baik dan adil supaya tidak menyakiti individu yang telah meninggal dunia kerana wasiat darinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.