
Susah sangat ke hidup ni? Mengapa orang lain boleh? Kenapa bukan kita?
Persoalan yang tiada penghujungnya jika kita tidak bertindak. Zaman sekarang semakin maju, moden dan pembangunan yang pesat. Adakah kita masih di tampuk selesa? Tidakkah anda terfikir untuk melakukan transformasi ke arah yang lebih baik dan efektif.
Perkongsian saya kali ini mengenai 4 perkara yang wajib dilakukan oleh setiap individu. Apakah 4 perkara tersebut?

1) Menyimpan dan membuat tabungan
Adakah anda menyedari bahawa cara yang tepat untuk menyimpan duit ialah simpan dahulu sebelum berbelanja. Mulai hari ini, tukar mindset kita semua. Lebihan wang bukan untuk disimpan tetapi simpanlah terlebih dahulu wang yang kita dapat sebelum menggunakannya. Ramai yang salah faham dalam melakukan tindakan ini kerana majoriti apabila dapat duit, masing-masing akan berbelanja dan akhir sekali barulah menyimpan atau meletakkan baki ke dalam tabung. Andai kata telah habis berbelanja, tiada lagi duit untuk disimpan, ini merupakan kerugian besar dlm kewangan.
2) Merancang kewangan peribadi
Perancangan adalah perkara sangat penting. Jika kita tidak merancang, kita telah merancang untuk gagal. Pengurusan kewangan anda merangkumi dua iaitu jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Sasarkan matlamat yang jauh dahulu seperti membeli rumah dan menunaikan haji. Apabila kita mempunyai perancangan, kita akan berusaha untuk memenuhi target tersebut. Jangka masa pendek pula tidak menjadi masalah jika kita konsisten, cepat bertindak cepatlah kita dapat hasilnya.

3) Membuat catatan
Catat setiap keluar masuk duit yang digunakan. Segala perbelanjaan mestilah dicatat dengan tepat tanpa gagal dan mestilah dilakukan setiap hari. Pentingnya catatan ini untuk kita lihat perjalanan kewangan dan bezakan antara keperluan dan kemahuan. Jika perbelanjaan itu majoriti merangkumi kemahuan seperti menonton wayang, beli telefon baru, bil internet dan sebagainya, anda harus merancang perubahan untuk bulan seterusnya. Catatan membantu anda untuk lebih berhemah dalam berbelanja dan peka tentang arah tuju kewangan.
4) Menyediakan peruntukan simpanan kecemasan
Kehidupan tidak selalu indah. Ada masa kita diuji dan bila-bila boleh terjadi perkara yang tidak disangka seperti kebakaran, kemalangan dan seumpamanya. Simpanan kecemasan sangat penting untuk persediaan perkara-perkara tersebut. Kalau kita antara golongan yang menerima gaji bulanan, simpanan kecemasan mestilah antara 3-4 bulan. Tetapi kalau tidak mempunyai pendapatan bulanan, cuba menyimpan untuk jangka masa panjang antara 7-8 bulan supaya dapat menampung saat getir.
Betulkan pemikiran kita semua dengan bertindak jauh ke hadapan kerana masa tidak menunggu orang yang rugi. Masa itu emas jadi kejarlah ia menuju kejayaan dan perubahan yang lebih baik. Tidak rugi orang yang merancang kewangan untuk jadi lebih baik dari sekarang kerana itulah konsep kejayaan.