Apa Itu Hibah Takaful

Semua individu bakal berdepan dengan kematian tidak kira muda atau sudah berumur. Bila-bila sahaja akan berlaku kematian kerana itu merupakan rahsia dari Allah swt. Namun sudahkah kita bersedia dari segi kewangan?

Tahukah anda apa manfaat Hibah Takaful?

Kenapa perlu tahu hibah takaful? Apa manfaatnya kepada kita? Hibah takaful ialah salah satu produk yang boleh dipilih di dalam takaful. Ia dikenali sebagai Hibah atau Penama. Ikuti perkongsian saya tentang pendedahan berkaitan hibah takaful dalam kehidupan kita semua.

Terkecuali daripada harta pusaka

Apabila anda melakukan hibah takaful, harta yang dihibah akan terkeluar dari pembahagian faraidh (harta pusaka). Hanya penerima hibah boleh menerima hibah tersebut dan menggunakan manfaatnya seperti tertera pada perjanjian. Contohnya, suami melakukan perlindungan takaful dan menghibahkan manfaat takaful kepada isterinya dan hanya isterinya mendapat jumlah manfaat perlindungan tersebut.

Peruntukan masa yang singkat

Hibah takaful tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk diberikan kepada ahli waris. Apabila pemegang polisi meninggal, proses akan dilakukan selama 7-14 hari sahaja untuk duit disalurkan kepada akaun penerima hibah. Keperluan ini sangat penting kerana ahli waris memerlukan dana yang cepat bagi menampung kehidupan selepas berlaku kematian.

Harta Tidak beku

Harta individu seperti simpanan dalam bank, pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kad kredit, dan sebagainya akan dibekukan sejurus selepas berlaku kematian. Namun berbeza dengan Hibah takaful. Ia satu-satunya harta yang mendapat pengecualian dari pembekuan. Jadi ahli keluarga tidak akan menanggung kesusahan dari segi kewangan kerana adanya hibah takaful.

Pelepasan Cukai

Istimewanya hibah takaful adalah mendapat pelepasan cukai. Cukai ialah bayaran yang dikenakan terhadap sesuatu harta yang menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Tetapi dalam hibah takaful, anda bebas dari bayaran cukai kerana ia telah mendapat pengecualian.

Keluarga merupakan individu terdekat yang merasa kehilangan akibat kematian ahli keluarga.

Tidak membebankan keluarga

Apabila berlaku kematian, sekurang-kurangnya ahli keluarga mendapat perlindungan dan manfaat kerana mempunyai hibah yang ditinggalkan. Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban ahli keluarga yang perlu meneruskan kehidupan seperti biasa atau mungkin yang meninggal merupakan mata pencarian kepada keluarga tersebut.

Pelan perlindungan sememangnya perlu untuk setiap individu untuk menjaga harta dan ahli keluarga selepas berlaku kematian kerana ia tidak dapat dijangka. Ada benarnya pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.