
Assalammualaikum, dalam hidup kita pelbagai cabaran dan dugaan yang mungkin dan bakal kita hadapi. Apa yang kita lalui setiap hari adalah ujian dan kita wajib menerimanya dan haruslah kita melaluinya dengan redha. Perkara yang selalu menjadi masalah dalam kehidupan seharian kebanyakan orang adalah ketiadaan duit. Jadi, inilah topik yang bakal kita bincangkan dalam artikel ini. Oleh itu, kenapa kita perlu berjimat? dan simpan duit tu untuk apa?
Terdapat 2 sebab terbesar seseorang itu menyimpan duit iaitu disebabkan KEPERLUAN ataupun KEMAHUAN. Kita sebenarnya diharuskan untuk menyimpan duit dalam pelbagai bentuk simpanan sekalipun bertujuan untuk menggunakannya pada perkara-perkara dalam keperluan seseorang. Selain itu diharuskan juga untuk kita sentiasa berjimat-cermat.
1. Kenderaan
Contoh KEPERLUAN seseorang individu tersebut adalah pengangkutan. Kenderaan amat penting untuk seseorang itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka, perkara tersebut adalah aset keperluan dan diharuskan individu terbabit memiliki satu kenderaan yang mudah diselenggara dan tidak membebankan kewangan dirinya. Namun ianya akan menjadi kemahuan pula sekiranya individu itu menyimpan duit hanya untuk memiliki kenderaan yang lebih mahal, lebih mewah dan akhirnya membebankan kewangan dalam simpanannya. Melainkan individu tersebut mempunyai pendapatan yang kukuh dalam simpanannya.
2. Makanan
Makan merupakan perkara yang wajib oleh semua orang kerana ianya adalah keperluan asasi untuk meneruskan hidup. Tanpa makanan kita akan kebuluran dan akan cenderung kepada kemerosotan kesihatan dan akhirnya boleh membawa maut. Ada orang mengumpul duit semata-mata hanya untuk makan sedap-sedap namun tidak selalu ini kerana harga setiap makanan yang selalunya kita inginkan dan sedap berbeza harga pada setiap hidangan dan juadah. Maka, janganlah selalu kita ikut sangat kehendak hati kerana dari situlah nafsu untuk berjimat akan pudar dan boros menguasai sehingga simpanan akan menjadi kucar-kacir.
3. Tabung Kecemasan
Tabung kecemasan sememangnya digunakan hanya untuk kecemasan,. Mungkin ianya digunakan untuk penyelenggaraan kenderaan, membeli barangan keperluan, dan tidak terkecuali untuk kesihatan. Pelbagai tujuan tabung ini diwujudkan. Ramai yang menyimpan duit untuk jadikan tabung kecemasan sebagai satu alternatif mudah dan selalunya tabung seperti ini disimpan dalam bentuk tabung fizikal. Ini kerana ianya memudahkan individu tersebut mengeluarkan duit yang disimpan secara teratur dan tidak perlu berbaris panjang dihadapan mesin pengeluaran duit (ATM).
4. Menyimpan Sekadar Suka-suka
Tak dinafikan ramai yang menyimpan duit hanya untuk suka-suka, ini kerana mereka tidak mempunyai tujuan sebenar dan matlamat yang betul kenapa mereka menyimpan. Ini boleh dikategorikan sebagai tabung simpanan yang tidak kekal kerana mereka akan mengeluarkan duit yang ditabungnya sesuka hati untuk digunakan pada perkara keperluan ataupun kemahuan secara tiba-tiba atau dirancang. Dalam konteks lain, ini boleh dikatakan menyimpan untuk memiliki sesuatu yang diperlukan.
Sebenarnya banyak lagi tujuan seseorang itu menyimpan seperti contohnya ingin membeli dan memiliki sebuah rumah, melangsaikan hutang dan pelbagai lagi tujuan yang penting . Oleh itu, dengan hidup berjimat cermat juga sedikit sebanyak kita mempunyai baki wang yang boleh digunakan dan disimpan untuk keperluan yang kita perlukan. Asalkan bukan kemahuan semata-mata.