
Seperti kita tahu zakat merupakan penyucian harta dalam Islam dan hanya golongan tertentu sahaja mengeluarkan zakat. Begitu juga bagi penerima, sesetengah golongan sahaja yang layak untuk menerima zakat.
Antara golongan tersebut ialah :
1) Fakir
-Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50% daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya.
2) Miskin
-Orang yang mempunyai pekerjaan atas hasil usahanya yang memenuhi keperluan asasnya tetapi tidak cukup untuk menampung keperluan harian dan orang-orang di bawah tanggungannya.
3) Amil
-Orang yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
4) Muallaf
Mereka yang berjinak-jinak mengenali Islam atau baru memeluk Islam tetapi belum kukuh Islamnya. Mualllaf terbahagi kepada dua :
–Muslim (beragama Islam)
- Baru memeluk Islam
- Ketua-ketua Islam yang baik dengan ketua-ketua bukan Islam
- Ketua-ketua yang lemah imannya
-Non-Muslim (bukan beragama Islam)
- Masih boleh dipujuk untuk masuk Islam
- Boleh dipujuk dan tidak merbahaya untuk Islam
5) Al-Riqab
-Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman penghambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan pihak-pihak tertentu. Dengan kata lain membebaskan orang-orang Islam yang teraniaya seperti Uyghur di China.
6) Al-Gharimin
-Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh syarak.
7) Fisabilillah
-Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti menegakkan, mempertahankan dan mendakwahkan agama serta kebajikannya. Individu yang berjuang di jalan Allah.
8) Ibnu Sabil
-Individu yang dalam perjalanan bagi tujuan-tujuan yang dibenarkan syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan dari segi tenaga kerja atau keperluan lain untuk berkhidmat demi keamanan negara tersebut.
Golongan-golongan ini layak menerima zakat dan akan diagihkan melalui pusat-pusat zakat yang disediakan setiap negeri. Seperti Selangor, kita ada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang akan menjalankan tanggungjawab ini kepada mereka yang layak yang tinggal di Selangor sahaja.