Muafakat Membawa Berkat

Apabila berlaku kematian, penting untuk kita menguruskan harta ahli keluarga yang meninggal. Selain faraidh, wasiat atau hibah ahli waris boleh menggunakan konsep muafakat untuk pembahagian harta.

Muafakat adalah persetujuan bersama atau persepakatan dalam rundingan untuk mencapai satu kata putus antara ahli waris/keluarga. Ahli waris sepakat untuk mengagihkan harta secara sama rata. Sesuai dengan peribahasa ‘elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat’ iaitu apabila hendak berbuat sesuatu perkara, eloklah dirunding sesama keluarga terlebih dahulu.

Muafakat juga dikenali sebagai takharuj. Takharuj bermaksud mengundur diri atau memberi laluan kepada ahli waris yang lain untuk menerima harta pusaka samada dengan balasan atau tanpa balasan. Contohnya Ali, Aisyah, Aminah dan Abu merupakan adik beradik seibu sebapa. Mereka telah sepakat untuk mengagihkan harta peninggalan ibubapanya sama rata antara mereka berempat. Tidak ada yang akan dapat lebih mahupun kurang.

Muafakat dan takharuj menggunakan konsep ikhlaskan diri untuk mencapai penyelesaian bersama. Penyelesaian ini dapat dicapai oleh semua waris kerana ianya berasaskan kepada prinsip redha meredhai dan toleransi.

Takharuj adalah dibenarkan di dalam Islam kerana menepati ciri-ciri keadilan. Islam mengiktiraf alternatif pembahagian seperti ini kerana ia dilihat mampu mencapai matlamat pembahagian pusaka sebenar selagi mana tidak bercanggah dengan syariat. Kerana kaedah ini sebenarnya memberi peluang kepada setiap waris memilih cara yang terbaik dalam menyelesaikan permasalahan pembahagian harta pusaka.

Masing-masing memainkan peranan secara berhemah, ‘hendaklah seperti tembikar, pecah satu pecah semuanya’ iaitu hendaklah hidup dalam muafakat. Senang sama-sama senang, susah sama-sama susah. Jangan pula bermasam muka seperti ‘buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat’. Tiap-tiap kejadian buruk dapat diselesaikan bila mana kedua belah pihak bersedia untuk berunding atau bermesyuarat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.