Hutang Wajib dibayar walau tidak dituntut

Pada zaman Rasulullah saw, telah diceritakan satu kisah. Berlaku satu kematian dan sahabat meminta Rasulullah untuk solatkan jenazah tersebut. Namun, Rasulullah saw tidak ingin menunaikan solat jenazah sekiranya jenazah tersebut meninggal dunia dalam keadaan mempunyai hutang.

Begitu besar kedudukan hutang di dalam Islam. Dunia sekarang, masyarakat tidak dapat lari dari berhutang kerana kekangan kewangan dan sumber pendapatan yang tidak mencukupi untuk membeli secara tunai. Ada yang berhutang untuk membeli rumah, kereta, pendidikan, keperluan rumah seperti sofa, almari, katil, peti sejuk dan sebagainya. Sebelum berhutang, kita mestilah meneliti syarat-syarat dan mempraktikkan adab sebagai orang yang berhutang dipenuhi sebaiknya.

Bagaimana hutang pada pandangan Islam ?

1 ) Bebas dari lebihan (riba)

Allah swt telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 275, yang bermaksud, “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.

Riba adalah lebihan yang wujud di dalam transaksi. Sebagai contoh, Ali telah meminjam RM100 dengan Kamal. Kamal menetapkan syarat pembayaran iaitu Ali harus membayar hutang tersebut selama sebulan, jika gagal membayar dalam tempoh masa tersebut hutang akan bertambah menjadi RM150.

Islam mengharamkan transaksi yang mempraktikkan riba kerana menyakiti individu yang lain.

2 ) Mesti dicatat

Setiap transaksi hutang yang dilakukan hendaklah dicatat oleh individu dan institusi yang terlibat. Jangan hanya berharap kepada sebelah pihak yang menyediakan hitam putih. Catatan penting bagi mengelakkan kekeliruan atau perselisihan yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Pepatah mengatakan “sediakan payung sebelum hujan”.

Hutang juga telah dicatat oleh malaikat yang selalu berada dengan kita. Sekiranya kita masih mempunyai hutang, segeralah berusaha untuk melunaskannya kerana hutang akan dibawa dan dipersoal di akhirat kelak.

3 ) Jangan lupa membayar balik

Hutang akan sentiasa menyelubungi kita walau dimana kita berada meskipun telah meninggal dunia kerana ianya adalah hak individu lain yang kita telah berhutang.

Disebabkan itu dalam pentadbiran harta pusaka, setelah individu Muslim meninggal dunia, antara perkara yang perlu dilakukan dari hartanya setelah urusan pengebumian ialah ahli waris wajib menyelesaikan hutang si mati terlebih dahulu sebelum urusan lain. Islam meletakkan hutang pada satu tahap yang sangat penting kerana kita telah meminjam harta dan hak individu lain jadi wajib ke atas kita untuk membayar semula.

4 ) Memenuhi keperluan hutang

Sebagai contoh individu berhutang untuk membeli rumah. Individu tersebut bertanggungjawab untuk membayar ansuran bulanan seperti perjanjian yang telah dimeterai.
Keperluan bulanan untuk membayar hutang hendaklah dipenuhi supaya tidak berlaku perkara tidak diingini seperti penarikan harta, disenarai hitam dan sebagainya.

Islam amat menitikberatkan soal berhutang pada setiap Muslim. Hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut kerana ia telah menjadi satu tanggungjawab kita sebagai orang yang telah berhutang. Jika tidak bersedia dengan tanggungjawab ini, jangan sesekali terlibat dengan hutang kerana kelak membawa padah buat diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.