
Masyarakat sekarang ramai yang tidak jelas tentang pelaksanaan wasiat. Bagaimana prosedur, siapa sebenarnya penerima wasiat dan banyak lagi. Kali ini saya utarakan 3 contoh kekeliruan yang timbul mengenai wasiat dalam kalangan masyarakat sekarang.
1-Wasiat boleh diberi kepada ahli waris selepas meninggal dunia
- Ramai yang salah faham tentang ini iaitu penerima wasiat. Wasiat hanya boleh diberikan kepada selain ahli waris/keluarga sahaja kerana ahli waris/keluarga menerima harta pusaka secara faraidh. Seandainya mempunyai anak angkat, anak tersebut juga boleh menerima wasiat kerana anak angkat tidak layak menerima faraidh.
2-Wasiat boleh dilakukan ke atas semua harta
- Dalam Islam, apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, harta tersebut akan dibahagi kepada 3 bahagian. Dan 1/3 daripadanya adalah harta untuk diwasiatkan. Wasiat dibuat sebelum seseorang meninggal dunia. Jika selepas kematian didapati dia telah mewasiatkan lebih dari 1/3 harta maka harta tersebut mestilah mendapat persetujuan dari ahli waris/keluarga terlebih dahulu.
- Terdapat hadis yang mengatakan tentang pembahagian wasiat iaitu ;
Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”. -Riwayat al-Bukhari
3-Pengikat antara pewasiat dan penerima wasiat semasa hidup
- Sebenarnya melaksanakan wasiat bukan suatu pengikat antara pewasiat dan penerima. Ia adalah amanah yang harus dilaksanakan apabila pewasiat telah meninggal dunia. Wasiat juga merupakan bantuan yang diberi kepada individu tertentu tetapi selagi pewasiat masih hidup, pengisian wasiat boleh dipinda mengikut keinginan pewasiat sendiri.
Sebagai masyarakat yang prihatin, jangan cepat melakukan andaian sendiri tanpa tahu kebenarannya. Lebih-lebih lagi berkaitan harta seseorang yang telah meninggal. Berdosa jika kita tidak menguruskannya dengan baik.