“Adalah menjadi tanggungjawab kepada Muslim yang meminta untuk tidak meninggalkan dua malam tanpa menulis wasiat tentangnya” – Sahih al-Bukhari
Dengan adanya wasiat dalam pentadbiran harta pusaka, ianya dapat membuka peluang kepada pewasiat untuk membantu individu lain yang tidak tergolong dalam penerima harta pusaka seperti kawan-kawan, anak angkat atau dari agama yang lain.
Lumrah setiap perkara semestinya ada pahit manisnya. Meskipun wasiat bagus untuk individu yang menguruskan harta, terdapat juga sedikit kekurangan berkaitan pentadbiran wasiat.
1) Memakan masa yang lama
- Pembahagian harta pusaka sememangnya akan mengambil tempoh masa yang lama apabila ia tidak sepenuhnya telah ditentukan oleh pewasiat. Sekiranya timbul permasalahan tentang dokumen yang berkaitan, tujuan pewaris berbeza atau aset pewaris berbeza dari bukti yang dikemukan oleh pihak pentadbiran wasiat. Masalah-masalah ini yang menjadikan pengurusan wasiat mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
2) Tiada wasi
- Wasi adalah orang yang telah diamanahkan oleh pewasiat untuk menguruskan harta wasiat. Setelah pewasiat meninggal dunia, wasi bertanggungjawab sepenuhnya ke atas harta tersebut untuk diagihkan kepada penerima wasiat.
- Apabila tiada wasi dalam pentadbiran wasiat, harta tersebut akan tergantung kerana ia memaksa ahli waris untuk menggantung pengagihannya kerana hanya wasi (pelaksana) yang telah dilantik boleh melakukannya. Tujuan pelaksana dilantik adalah untuk mengelak daripada waris yang menguruskan wasiat tersebut. Lain pula jadinya jika ahli waris yang mengambil bahagian dalam pentadbiran.
3) Masalah dana berlebihan
- Dalam Islam, wasiat hanya boleh diberikan 1/3 daripada harta. Masalah akan timbul apabila pewasiat mewasiatkan hartanya lebih daripada 1/3. Ini akan memberi kesan kepada dokumen Amanah Raya yang menguruskannya untuk diagihkan kepada penerima wasiat.
- Sekiranya pewasiat meninggalkan wasiat lebih 1/3 ianya hendaklah mendapat persetujuan daripada ahli waris terlebih dahulu. Kebiasaannya perkara ini menjadi perbalahan antara ahli waris kerana tidak semua bersetuju. Perkara-perkara seperti yang akan melambatkan lagi harta wasiat diuruskan.
4) Masalah pewasiat
- Syarat bagi melaksanakan wasiat adalah sebaik-baiknya diagihkan kepada bukan ahli waris seperti anak angkat, golongan yang kurang berkemampuan dan sebagainya. Tujuannya sebagai membantu sesama masyarakatmelalui perkongsian harta. Namun, ia bukan bererti wasiat tidak boleh diserahkan kepada ahli waris.
- Masalah pewasiat ialah apabila mereka menyerahkan wasiat kepada sesetengah ahli waris sahaja dan ahli waris lain akan mempersoalkannya. Perkara ini sebenarnya kerana pewasiat mengamalkan poligami tanpa pengetahuan warisnya dan akhirnya menjadi pertikaian dalam kalangan ahli waris.
5) Tiada badan bertanggungjawab
- Sedikit pesanan kepada pewasiat, apabila melakukan wasiat, simpan dokumen di tempat yang senang dicari. Masalah akan timbul apabila tiada dokumen sah mengenai wasiat yang dilakukan dan tiada badan bertanggungjawab menguruskan mengenai pendaftaran dokumen tersebut (wasiat dan hibah).
- Firman Allah swt di dalam Surah al-Maidah ayat 106 yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kamatian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian”.
