Kenapa perlu ada takaful??

Majoriti sedia maklum apa itu takaful. Namun sedarkah semua keperluan takaful dalam kehidupan anda? Adakah ia perlu atau boleh ditunggu sehingga hari tua?

Takaful ialah perlindungan atau jaminan dalam transaksi. Takaful menggunakan konsep tabarru’(kerjasama) dan ta’awun(tolong-menolong) antara satu sama lain mengikut shariah Islam. Seperti yang kita tahu, Islam amat menggalakkan kita saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam apa jua keadaan.

Skim perlindungan takaful sangat penting namun tak ramai yang menyedari tentang kepentingan dan kebaikannya. Ikuti perkongsian sebab-sebab kenapa anda perlu ada takaful.

1) Risiko yang tiada alamat

Kita semua tidak dapat lari dari risiko dalam kehidupan seharian. Risiko boleh terjadi dalam pelbagai bentuk iaitu kematian, kemalangan, kecacatan atau penyakit yang menjadikan kita tidak mampu bekerja dan tiada pendapatan. Bagaimana kehidupan kita jika semua itu berlaku? Disini peranan takaful pada kita semua. Takaful bertindak melindungi kita pada waktu kritikal seperti tadi. Mungkin kita telah mati, tapi setidaknya ada hasil yang kita tinggalkan pada keluarga yang bersedih di atas kematian tersebut. Takaful akan memberi pampasan kepada kita atau ahli keluarga sesuai dengan musibah yang ditimpa.

2) Melindungi harta atau aset

Mungkin ada yang tidak sedar kita menggunakan takaful dalam kehidupan seharian seperti kereta. Setiap tahun kita akan memperbaharui cukai jalan dan pada waktu yang sama wajib mengambil takaful kenderaan untuk melindungi kereta tersebut. Sama juga dengan rumah yang dibeli melalui pinjaman bank akan melibatkan takaful. Takaful akan melindungi harta-harta tersebut jika berlaku kejadian tidak diingini melibatkan harta tersebut.

Lebih bagus lagi, takaful bukan hanya melindungi aset fizikal sahaja tetapi juga melindungi aset bukan fizikal. Aset fizikal seperti rumah dan kereta manakala bukan fizikal pula perniagaan. Perniagaan mesti ada untung ruginya. Takaful akan melindungi apabila berlaku kerugian dalam perniagaan mengikut perjanjian yang telah dibuat.

3) Melindungi pelaburan

Pelaburan akan ada pasang surutnya lagi-lagi pada awal penglibatan. Rugi itu perkara biasa kerana masih belum berpengalaman dan kurang mahir dengan selok belok pelaburan. Sebab itu sebelum menceburi bidang pelaburan anda mestilah mempunyai ilmu yang cukup mengenainya. Pelaburan pula merupakan jangka masa yang panjang, baru dapat keuntungan yang baik.

Dengan takaful semuanya akan lebih mudah dan ringan kerana takaful melindungi anda sewaktu kerugian atau masih belum dapat keuntungan semasa penglibatan. Takaful menyelamatkan masalah kewangan para pelabur jika diambil lebih awal. Kalau sesuatu kejadian berlaku dahulu dan takaful diambil selepas itu, ia tidak akan dilindungi. Jadi segeralah mengambil takaful.

4) Kebaikan selepas kematian

Sesetengah individu meninggalkan hutang kepada keluarga kerana kematian tidak dapat dijangka. Namun jika individu tadi mengambil takaful, perkara ini tidak akan terjadi. Takaful akan memberi pampasan kepada ahli keluarga bagi menampung perbelanjaan pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi jika yang meninggal merupakan ketua keluarga atau sumber pendapatan keluarga dan tunjang keluarga tersebut. Keluarga paling terkesan jika tiada harta yang ditinggalkan. Jadi, ambillah takaful yang sesuai yang akan bertindak melindungi mereka.

5) Melakukan perintah Islam

Ramai yang tidak tahu apa itu takaful dan insuran. Majoriti masyarakat kita mengambil insuran untuk perlindungan harta. Insuran merupakan perlindungan konvensional. Sebelum ini mungkin belum ada takaful dalam ekonomi Islam tetapi sekarang takaful sudah dijalankan di banyak negara. Jadi, kita sebagai Muslim mestilah menyokong ekonomi Islam yang dijalankan seperti takaful. Perlindungan kereta atau rumah masih ramai menggunakan insuran. Dimana peranan orang Islam dalam memperjuangkan agama sendiri? Muslim yang mengambil takaful seumpama berjihad pada jalan Allah kerana menyokong ekonomi Islam. Bertukarlah sekarang dari insuran konvensional kepada sistem takaful.

6) Memupuk nilai murni iaitu bantu-membantu

Takaful menggunakan konsep tabarru’ iaitu derma. Tabarru’ bermaksud semua pencarum saling bantu-membantu sesama pencarum apabila dalam kesusahan. Walaupun semua akan terlibat dalam bayaran bulanan, faedah hanya akan diperoleh apabila berlaku musibah dan cukup tempoh matang sahaja. Jika seorang pencarum ditimpa musibah, hanya dia yang akan menerima faedah walaupun semua pencarum membayar bagi pihak mereka kerana para pencarum akan menerima faedah apabila berlaku musibah pada dirinya sahaja. Syarikat takaful bebas menggunakan wang caruman untuk membantu orang lain yang ditimpa musibah. Melalui konsep ini, Islam menggalakkan kita membantu antara satu sama lain tanpa sebarang isu tidak jelas. Konsep takaful lebih terurus dan adil berbanding insuran yang berteraskan kontrak jual beli.

Pilihan di tangan anda samada mengikut shariah Islam atau sebaliknya. Lakukan tindakan dengan bijak tanpa terpengaruh dengan orang lain. Perjalanan kehidupan dan kewangan anda bermula dari tindakan anda sekarang. Ubahlah untuk kebaikan bersama dan kesejahteraan semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published.