Kenapa perlu belajar Faraidh ?

Ilmu faraidh perlu dipelajari oleh semua individu tidak kira lapisan masyarakat.

Seperti yang kita tahu, faraidh ialah pembahagian harta pusaka kepada ahli keluarga. Tetapi, untuk melaksanakannya kita mestilah mahir tentang ilmu tersebut. Bukanlah hanya dibahagikan begitu sahaja ikut suka. Persoalannya, adakah menjadi satu keperluan untuk mempelajari ilmu faraidh? Mengapa?

1) Merupakan perintah Rasulullah saw

  • Penting untuk kita supaya sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi ilmu faraidh merupakan salah satu perintah baginda Rasulullah saw. Perkara ini telah disebut di dalam satu hadis iaitu “Pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah kepada manusia dan pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya aku manusia biasa yang akan meninggal dunia juga, dan ilmu akan hilang (dengan matinya yang mempunyai ilmu tersebut), sesungguhnya aku sangat resah dan takut jika nantinya ada orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan dan permasalahan lainnya, akan tetapi mereka tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan dan menyelesaikan masalah mereka.” -Riwayat Imam Ahmad

2) Para sahabat sangat menggalakkan umat Islam mempelajari ilmu faraidh

Perkara ini jelas disebut di dalam beberapa situasi yang terjadi pada zaman dahulu seperti ;

  • Umar bin Khattab telah berkata, “Pelajarilah ilmu faraidh, kerana ia sesungguhnya termasuk bahagian dari agama kalian.”
  • Seterusnya Amirul Mukminin berkata, “Jika kalian berbicara, bicaralah dengan ilmu faraidh, dan jika kalian bermain-main, bermain-mainlah dengan satu lemparan.”
  • Kemudian Amirul Mu’minin berkata kembali, “Pelajarilah ilmu faraidh, ilmu nahu, dan ilmu hadis sebagaimana kalian mempelajari Al-Qur’an.”

3) Ilmu pertama yang akan terhapus dari kotak fikiran manusia

Rasulullah saw juga ada menyebut di dalam banyak-banyak ilmu, ilmu faraidh ialah ilmu pertama yang manusia akan lupa. Telah diriwayatkan di dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, “Pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia akan dilupakan dan sesungguhnya ia adalah ilmu yang pertama yang akan dicabut dari umatku.” -Riwayat Ibn Majah dan ad-Darquthni

4) Ulama’ terdahulu sangat komited dan tekun dalam mempelajari ilmu Faraidh

Para ulama’ terdahulu sangat bersungguh-sungguh mempelajari ilmu faraidh kerana menyedari tentang kepentingannya. Mereka berluma-lumba mempelajarinya supaya tidak tertinggal ilmu tersebut sehingga sanggup meluangkan sepenuh masa untuk fokus terhadap ilmu ini.

Ada yang mengeluarkan cara-cara bagi memudahkan mempelajari ilmu faraidh. Sampai seperti itu para ulama’ berusaha untuk mempelajari dan memahaminya.

Sekarang kita pula berperanan untuk berguru tentang ilmu faraidh kerana penting untuk kehidupan seterusnya dipanjangkan kepada generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.