Tiada Lagi Salah Faham

Kehidupan lebih tenang apabila kita berjaya menguruskan kewangan dengan baik.

Pengurusan harta sangat penting di dalam Islam. Sentiasa ingat bahawa setiap harta kita terdapat juga bahagian orang lain dan mesti diuruskan dengan baik supaya tidak tertinggal dan tercicir hak individu yang sepatutnya. Kalau ikuti pengetahuan masyarakat sekarang, ramai yang belum tahu tentang perbezaan pembahagian harta sebelum dan selepas kematian. Mari ikuti pencerahan tentang faraidh (harta pusaka), wasiat dan hibah. Sudahkah anda jelas mengenainya?

Faraidh membantu Muslim menguruskan harta dan kewangan dengan adil.

1 – Faraidh (harta pusaka)

  • Faraidh atau harta pusaka ialah pembahagian harta kepada ahli waris/keluarga selepas individu Muslim meninggal dunia. Pembahagian tersebut akan dilakukan kepada setiap ahli waris/keluarga yang layak dan berhak mengikut kaedah pengiraan yang telah ditetapkan mengikut syarak.
  • Terdapat dua hukum faraidh iaitu hukum pelaksanaan dan hukum mempelajarinya. Bagi pelaksanaan faraidh, setiap ahli waris/keluarga wajib melaksanakan kaedah faraidh bagi pembahagian harta si mati kerana ia merupakan perintah Allah swt. Bagi yang tidak melakukan perintah Allah ini tidak akan cium bau syurga berdasarkan Al-Quran surah an-Nisa’ ayat 13-14 yang bermaksud,
  • “Segala hukum yang tersebut (anak yatim, faraidh dan wasiat) adalah batas-batas (shariah) Allah dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariah-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”
  • Hukum mempelajari faraidh merupakan fardhu kifayah bermaksud tidak wajib tetapi sangat digalakkan untuk mempelajarinya.
Sesetengah individu menggunakan wasiat untuk membantu individu yang lain.

2 – Wasiat

  • Ramai yang salah anggap mengenai wasiat. Wasiat ialah pembahagian harta kepada bukan ahli waris/keluarga samada menggunakan lafaz atau tidak. Jika wasiat dibuat kepada ahli waris, ianya tidak sah melainkan dipersetujui oleh ahli waris yang lain. Wasiat mesti dilakukan semasa hayat seseorang tetapi ia mula berkuatkuasa selepas kematian individu tersebut. Seseorang boleh berwasiat tidak kira benda, manfaat atau hutang kepada penerima.
  • Mungkin sesetengah individu beranggapan wasiat tidak perlu tetapi wasiat juga digalakkan di dalam Islam seperti faraidh (harta pusaka). Hadis ada mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” – Hadis Riwayat al-Bukhari.

3 – Hibah

  • Hibah ialah hadiah atau sedekah. Seseorang memberikan sesuatu yang dapat dimanfaatkan kepada individu yang lain semasa hayatnya tanpa mengharapkan balasan. Sebagai contoh, seorang ayah hibahkan kereta myvi kepada anaknya. Tetapi harus diingat yang boleh diberi hibah hanya fizikal (ain) harta sahaja bukan hutang atau manfaat.

Hibah adalah sunat dilakukan dan ianya digalakkan dalam Islam lebih-lebih lagi kepada ahli waris/keluarga terdekat. Untuk melakukan hibah, anda mestilah memenuhi rukunnya terlebih dahulu iaitu haruslah ada pemberi hibah, penerima hibah, barang atau harta yang dihibahkan dan sighah (ijab qabul).

Leave a Reply

Your email address will not be published.