
Ujian dan cabaran merupakan lumrah kehidupan sebagai makhluk yang hanya menumpang di atas muka bumi ini. Namun lain manusia lain cabarannya. Setiap insan mengimpikan sebuah kehidupan yang indah, tenang, harmoni dan tiada masalah. Tetapi semua itu tinggal angan-angan kerana ujian yang membentuk seseorang menjadi manusia sebenar. Tanpa ujian, seseorang takkan mengenal erti kehidupan yang realitinya merangkumi pahit manis tersendiri.
Banyak cara yang dapat membantu seseorang untuk menjimatkan perbelanjaan. Sebagai insan biasa, nafsu untuk berbelanja adalah lumrah dan perkara biasa yang tidak dapat disangkal lagi. Kita tengok beberapa langkah yang mampu mendidik diri untuk berjimat.
1- Hapuskan bil peribadi
Zaman serba maju sekarang, seorang remaja atau dewasa akan menggunakan satu dan dua telefon pintar. Kebiasaannya mereka akan melanggan internet mingguan atau bulanan untuk penggunaan media sosial setiap hari. Sebagai langkah penjimatan, anda boleh cuba untuk menggunakan wifi apabila berada di satu-satu tempat kerana zaman sekarang, hampir setiap lokasi memang disediakan wifi percuma tanpa bayaran dan syarat-syarat tertentu. Begitu juga langganan surat khabar atau majalah. Hal negara dan isu-isu semasa boleh didapati di laman rasmi media tersebut. Anda boleh cari, ikuti dan baca bagi mendapatkan pengetahuan am.
2- Hadkan perbelanjaan rumah
Biasanya, belanja rumah yang melambung ialah bil air dan elektrik. Jadi, berusaha untuk mengurangkan penggunaan bil-bil tersebut kerana banyak yang dapat dijimatkan melaluinya. Mungkin dengan mengurangkan penggunaan penghawa dingin, lampu, kipas dan televisyen. Ajar ahli rumah untuk berjimat cermat melalui cara-cara ini.
3- Tidak terpengaruh dengan budaya/trend semasa
Terlalu mengikut budaya semasa antara punca gagal merancang kewangan dengan baik. Jangan terpengaruh dengan orang lain yang mungkin setiap minggu membeli-belah, ‘food hunting’, bergaya dengan jenama-jenama yang mahal dan sebagainya. Mengikuti budaya tidak salah tetapi biarlah berkadaran dengan kemampuan diri sendiri.
4- Membuat perbandingan harga
Peralatan rumah dan barang dapur adalah keperluan seharian. Bijak menguruskannya menjadi kunci dalam penjimatan. Mulakan dengan membuat bandingan harga di beberapa tempat sebelum berbelanja. Sebagai contoh, barang dapur boleh dibeli di giant berbanding pasaraya lain kerana harga yang lebih murah.
Tidak salah berkunjung ke kedai makan untuk memenuhi keinginan sekali sekala tapi pilihlah kedai yang sesuai dan berpatutan. Pastikan pilihan yang masih terkawal dalam bajet yang ada.
Bagi pengangkutan, elakkan untuk menunjuk-menunjuk dengan memaksa diri membeli kereta mewah dan mahal. Cukuplah sekadar dapat membantu memudahkan urusan seharian yang memenuhi objektif utama iaitu terlindung dari hujan dan panas. Begitu juga rumah yang mempunyai konsep sama. Biar berpatutan janji selesa dan tidak mendatangkan masalah kepada kita.
5- Elak pembaziran
Pembaziran boleh terjadi bila-bila masa jika tidak ditangani dengan baik. Sebolehnya masak sendiri setiap kali waktu makan kerana lebih terjamin. Selain dari jimat, ia juga bersih dan menepati citarasa kerana kita sendiri yang menyediakannya. Jika bekerja atau bersekolah, bawa bekal terus dari rumah. Selain itu, membeli belah semasa potongan harga atau diskaun sahaja. Kebiasaannya, musim-musim tertentu seperti jualan awal tahun, akhir tahun dan perayaan akan berganda lebih murah.
Mungkin langkah ini dapat membantu anda untuk menjimatkan perbelanjaan seharian namun banyak lagi yang anda boleh praktikkan pada masa yang sama. Setiap individu akan dapat mengurangkan perbelanjaan seharian mereka jika dilakukan secara istiqamah. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua.