Mungkin ada antara kita yang telah lama berkecimpung dalam dunia pelaburan. Tetapi masih ramai yang kurang kesedaran terhadap kelebihan pelaburan itu sendiri.

1) Simpanan Hari Tua
- Setiap individu akan menghadapi hari tua samada cepat atau lambat sahaja mengikut usia masing-masing. Kita semua bukan bekerja seumur hidup kerana ada masa kita akan bersara atau pencen seperti kelayakan kerajaan iaitu pada usia 60 tahun tapi boleh memohon awal jika tidak lagi berkeupayaan untuk bekerja. Atau mungkin juga kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. Semua sedia maklum saat masa dimamah usia, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti tiga serangkai (kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung).
- Jadi, apabila melakukan pelaburan ia akan membantu simpanan pada waktu seperti ini kerana anda tidak lagi mempunyai pendapatan melainkan duit persaraan yang mungkin tidak mencukupi perbelanjaan bulanan. Ramai yang menyebut bahawa anak-anak boleh membantu sewaktu usia tua tetapi kita kena fikir yang anak-anak juga mempunyai tanggungan dan tanggungjawab mereka. Mereka boleh menampung perbelanjaan kita di hari tua tapi mungkin bukan sepenuhnya.
2) Mengatasi Inflasi
- Pelaburan dapat mengatasi inflasi. Inflasi ialah ketidakstabilan harga barang dan perkhidmatan disebabkan oleh perkembangan ekonomi semasa. Anda akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi apabila melabur dimana-mana institusi atau badan yang berautoriti. Walaupun berlaku inflasi, ia tidak menjejaskan pelaburan anda ceburi.
- Pelaburan juga mendatangkan keuntungan pasif pada anda. Setidaknya dapat membantu menangani kos sara hidup di dalam keadaan ekonomi sekarang yang mendorong kepada kos tinggi. Pulangan pelaburan juga sangat baik dan bagus untuk anda yang ingin menyimpan atau mengumpul duit untuk merealisasikan tujuan kehidupan masing-masing.
- Tetapi harus anda ingat, dalam apa jua pelaburan anda ceburi mesti ada risiko. Sama seperti perniagaan juga ada risiko yang tersendiri. Sebab itu sebelum melabur mesti mempunyai ilmu tentang pelaburan. Semakin tinggi risiko, semakin tinggi keuntungan atau pulangan yang akan anda dapat, begitu juga sebaliknya.
3) Kemudahan Pendidikan Anak-Anak
- Kos pengajian seorang anak semakin hari semakin meningkat. Apatah lagi sudah meningkat dewasa dan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti memerlukan biaya yang sangat tinggi. Sebagai ibubapa, anda mestilah mempunyai perancangan awal bagi menghadapi keadaan ini. Kerajaan telah menyediakan bantuan pinjaman tetapi berkemungkinan tidak cukup untuk semua perbelanjaan kerana kos sekarang yang semakin meningkat lebih-lebih lagi jika di bandar. Jadi penting untuk anda membuat pelaburan sekarang untuk simpanan pendidikan anak pada masa hadapan supaya tidak terbeban nanti.
4) Jana Pendapatan kepada Negara dan Pelabur
- Pelaburan rumah, tanah dan saham merupakan satu usaha bagi mendapatkan keuntungan yang lumayan dan ia berbalik kepada pendapatan negara dan pelabur itu sendiri. Ia membantu menambah kestabilan ekonomi negara. Pelaburan juga dapat meningkatkan infrastruktur negara melalui pelabur asing kerana mereka akan mudah terpengaruh dan automatik akan membawa masuk teknologi luar.
Pelaburan akan mendatangkan hasil yang sangat lumayan jika anda bijak menguruskannya dan boleh jadi merugikan anda berganda-ganda jika silap dalam pentadbirannya. Semua pilihan di tangan anda maka lakukanlah keputusan yang bijak.