Penipuan Kewangan

Ramai terpengaruh dengan agensi skim cepat kaya yang berleluasa di luar sana.

Penipuan dalam kewangan atau skim cepat kaya semestinya sinonim dengan kita semua. Perniagaan ini dikategorikan HARAM dan salah di sisi undang-undang. Skim cepat kaya ialah transaksi yang melibatkan penipuan di dalam aktiviti. Tidak kira samada sengaja atau tidak, ia bertujuan memperoleh keuntungan pada individu atau institusi dan akan merugikan mangsa.

Antara yang terlibat adalah orang-orang muda sekitar umur 20-40 tahun. Mangsa mungkin tidak menyedari tentang skim cepat kaya kerana taktik yang digunakan dapat mengaburi masyarakat sekarang. Antara ciri-ciri skim cepat kaya ialah ;

1) Pertambahan wang apabila berjaya menarik ahli baru

Mereka menjerat mangsa dengan mengatakan dividen berlipat kali ganda dalam masa yang singkat dan merekrut ahli baru sebanyak mungkin. Setiap ahli baru akan dikenakan yuran sebagai syarat penglibatan. Yuran tersebut sebenarnya habuan kepada pengusaha skim dan melalui itulah penjanaan wang berlaku.

2) Banyak melakukan perjumpaan besar-besaran

Taktik semata-mata. Perjumpaan besar-besaran adalah untuk meyakinkan para pelabur yang mereka juga boleh cepat kaya sekiranya mendaftarkan diri sebagai ahli bawahan. Bermula dari bawah, lama-lama bergiat mangsa boleh berjaya seperti mereka.

3) Sumber pendapatan yang meragukan

Tidak jelas tentang matlamat dan bagaimana sumber pendapatan diperolehi kerana kebiasaan perniagaan seperti ini tidak menitikberatkan sumber yang datang. Mereka hanya menjelaskan tentang keuntungan yang bakal dikecapi padahal ianya jerat semata-mata.

4) Tarikan melalui pengalaman ahli lama

Mereka menggunakan kejayaan ahli-ahli lama dan pengusaha perniagaan yang telah mendapat habuan lumayan. Mempunyai kereta mewah, rumah berharga jutaan ringgit dan berhenti dari pekerjaan tetap yang hanya menerima gaji empat angka sebulan adalah antara tarikan mereka membuatkan mangsa tertarik untuk melabur.

5) Indah khabar dari rupa

Pelaburan yang sebenar bukan seperti yang diterangkan oleh pengusaha skim kerana mangsa tidak mempunyai pemilikan tetap ke atas harta. Keuntungan skim cepat kaya berdasarkan bilangan ahli baru. Sedangkan pelaburan sebenar adalah berbentuk saham dan akan mendapat pemilikan ekuiti dan juga berdasarkan Bursa Malaysia.

Tujuan sebenar skim cepat kaya adalah untuk membolot segala harta yang ada sebanyak mungkin melalui mangsa-mangsa yang terlibat. Berhati-hatilah dengan perniagaan yang menunjukkan petanda-petanda seperti ini kerana anda mungkin terjerumus dengan skim cepat kaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.