Salahkah Berhutang??

Hutang adalah satu bebanan

Seseorang individu tidak dapat lari daripada berhutang. Peredaran ekonomi semasa mendesak individu terjebak dengan hutang demi kelangsungan hidup. Hutang bukan lagi melibatkan individu berlatar belakang susah ataupun miskin, golongan kaya juga tidak dapat menolak untuk berhutang. Sebagai contoh, hutang dalam pembelian rumah, kereta, tanah, pendidikan dan sebagainya. Ada juga sesetengah golongan yang terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan seperti makanan dan pakaian kerana tidak mampu untuk menampungnya.

Perkara ini bukanlah aneh dalam kalangan seorang individu yang bergelar dewasa, lebih-lebih lagi mempunyai komitmen tersendiri. Perkara ini perlu dikupas secara serius kerana melibatkan urusan kehidupan kita semua. Tipulah andai seseorang mengatakan bahawa dia membeli kereta, rumah atau melanjutkan pelajaran secara tunai tanpa bantuan dari institusi atau individu yang lain. Persoalannya, adakah Islam membenarkan umatnya berhutang?

1) Berhutang tidak digalakkan di dalam Islam

Rasulullah saw telah bersabda; “Seorang Muslim mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi Hari Akhirat seperti akan meninggal pada keesokan hari dan hendaklah berusaha menambah baik keselesaan di dunia seperti akan hidup selama-lamanya”. Islam sendiri menyeru umatnya supaya sentiasa melakukan persediaan sepanjang hidup kerana mati itu pasti. Andai kata individu itu meninggal dunia dan meninggalkan hutang, ini bermakna dia belum bersedia dari segi kewangan sedangkan agama telah berpesan mengenainya. Adalah menjadi tangungjawab individu Islam untuk memastikan keselesaan diri kerana ia merupakan salah satu perintah.

2) Merupakan satu kesalahan yang besar

Individu yang telah meninggal dunia digalakkan untuk meninggalkan harta kepada ahli keluarga/waris. Seandainya individu itu meninggal dunia dalam keadaan berhutang dan tidak meninggalkan sebarang bentuk harta kepada ahli keluarga/waris dianggap telah melakukan dosa besar kerana telah membebankan ahli keluarga/waris tersebut. Islam tidak ajar seseorang membebani antara satu sama lain tetapi memudahkan yang lain. Apatah lagi dalam keadaan ini merupakan tindakan si mati itu sendiri kerana telah berhutang semasa hayatnya. Jadi eloklah jauhi sikap suka berhutang.

3) Tidak berpeluang memasuki syurga

Tidak perlu saya kupas lagi tentang syurga kerana semua telah sedia maklum mengenai kemuliaan dan kehebatannya. Setiap Muslim sememangnya impikan untuk memasuki syurga Allah. Tetapi dalam skop berhutang, terdapat satu kisah Rasulullah saw yang tidak ingin melakukan solat jenazah terhadap seorang Muslim pada zamannya. Apabila Rasulullah saw dijemput untuk menghadiri solat jenazah, baginda akan bertanya tentang jenazah tersebut. Soalannya adalah :

  • Adakah jenazah mempunyai hutang?
  • Adakah jenazah meninggalkan harta?

Sekiranya jenazah tersebut mempunyai hutang tetapi tidak meninggalkan harta, Rasulullah saw tidak akan melakukan solat jenazah ke atasnya. Lain pula situasi apabila jenazah tersebut ada hutang dan tinggalkan harta. Rasulullah saw terus bersetuju untuk melakukan solat jenazah. Jelas di sini Rasulullah saw tidak menyukai perbuatan tersebut.

4) Hutang hendaklah dicatat

Catatan boleh jadi satu keperluan di dalam kehidupan seharian kerana manusia sememangnya dilahirkan nasiya (pelupa). Setiap individu hendaklah mencatat hutang yang dibuat dengan pihak yang lain atau orang yang berhutang dengan kita. Ini bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam penentuan jumlah sebenar hutang yang terlibat.

Berhutang dibenarkan di dalam Islam tetapi tidak digalakkan apabila meninggal dunia kerana memberi kesan kepada ahli keluarga. Setiap Muslim bertanggungjawab untuk berusaha memenuhi keperluan dan sebolehnya elak dari berhutang. Jangan memandang kesenangan orang lain kerana kehidupan setiap insan adalah berbeza.

Leave a Reply

Your email address will not be published.