Sedekah Penghubung Silaturrahim

Berikan senyuman kepada insan yang memerlukan.

Sedekah berbentuk sukarela memberi. Memberi dengan niat ikhlas untuk membantu bagi kemudahan orang lain. Tidak susah untuk bersedekah kerana banyak ruang dan tempat yang sesuai anda boleh lakukan seperti masjid-masjid, rumah kebajikan, sekolah-sekolah dan sebagainya. Jika tidak ingin keluar jauh, hulurkan sedekah pada keluarga terdekat dahulu jika mereka yang sebetulnya perlu.

Banyak cara anda boleh praktikkan sedekah tidak kira dimana anda berada selagi niat murni itu ada kerana Islam sangat mudah dan tidak membebankan umatnya.

Sedekah sangat digalakkan di dalam Islam iaitu dengan memberi duit atau harta kepada insan lain tetapi tidaklah menjadi kewajiban sekiranya kita tidak mampu.

Mungkin ada yang keliru antara sedekah dan zakat. Sedekah tidak sama dengan zakat kerana zakat adalah wajib bagi umat Islam mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan terkandung di dalam rukun Islam. Tetapi sedekah ada disebut di dalam al-Quran tentang gandaan pahala apabila seseorang memberi sedekah.

  • Di dalam Al-Quran ada menyebut bahawa sedekah diibaratkan pinjaman yang indah kerana ia berperanan seperti kita memberi dengan kasih sayang, semangat kekeluargaan untuk membantu dan juga prihatin sesama masyarakat.
  • Sedekah tidak terikat dan tidak ada had untuk kita memberi. Kita boleh memberi kepada sesiapa sahaja tidak kira Muslim atau sebaliknya kerana Islam mengajar untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain. Bahkan di dalam Islam, senyuman juga dikategorikan sebagai sedekah kerana telah memberi keceriaan kepada individu lain.
  • Kita juga boleh melaksanakan sedekah pada sesuatu majlis keramaian seperti pernikahan, ulang tahun kelahiran, majlis meraikan kejayaan dan seumpamanya sebagai tanda bersyukur dengan nikmat kurniaan dari yang Maha Esa. Sedekah ini sangat luas tidak hanya memberi di dalam tabung masjid. Mungkin ada di antara kita yang ingin bersedekah bagi pihak ibubapa yang sudah meninggal juga dibenarkan dan dialu-alukan.
Biar miskin harta jangan miskin budi pekerti.

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran surah al-Dzaariyyat ayat 19,

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)”.

Hadis dari Abu Hurairah mengatakan Rasulullah saw bersabda tentang sedekah:

“Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan doa dari anak yang soleh kepada kedua ibubapanya”. (Hadis riwayat Muslim)

Sama-sama kita amalkan sifat suka bersedekah tidak kira berapa pun jumlahnya kerana bukan nilai menjadi pengukur tetapi niat dari hati yang ikhlas.

Leave a Reply

Your email address will not be published.