Tuntutlah Ilmu Sampai Ke Negeri China

Jangan meluahkan rasa penat menuntut ilmu kerana ilmu tidak akan pernah habis.

Ilmu adalah panduan kepada manusia. Tanpa ilmu, manusia boleh hilang arah kerana tidak mengetahui mana yang betul dan mana yang salah. Ilmu adalah suatu pengetahuan manusia terhadap apa yang telah dipelajari secara sedar dan difahami. Jika sesuatu ilmu itu tidak sampai kepada individu maka ia belum lagi memahaminya dengan jelas dan perlu untuk dipelajari semula. Melalui ilmu, manusia memperoleh satu benda untuk dimanfaatkan pada dirinya dan orang lain.

Buat yang mempunyai ilmu tidak kira sedikit atau banyak, eloklah praktikkan “5 JANGAN” yang bakal saya kongsi.

Tips 1 # Jangan berkira untuk berkongsi

Ilmu yang ada jangan disimpan. Ringan-ringankan berkongsi dengan yang lain. Jangan pernah berkira-kira untuk berkongsi ilmu kepada sahabat, keluarga atau sesiapa sahaja selagi ia bermanfaat buat semua. Sepatah ilmu yang anda kongsi, berganda-ganda pahala yang anda bakal dapat. Jadi untuk mengekalkan ilmu di dada hendaklah dikongsi dan dipanjangkan kepada yang lain.

Tips 2 # Jangan terlalu selesa

Banyakkan mendalami ilmu. Semat di minda bahawa ilmu yang ada tidak pernah cukup kerana harus belajar lebih banyak lagi melalui yang arif. Jangan merasakan kita mempelajari sesuatu ilmu contohnya pengurusan kewangan, sudah cukup untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. Cuba untuk terus belajar kerana lagi banyak anda belajar lagi banyak yang anda tidak tahu.

Tips 3 # Jangan segan untuk berguru

Guru, tenaga pengajar, ustaz atau sesiapa sahaja samada secara langsung atau tidak langsung yang terlibat di dalam mempelajari ilmu adalah sangat penting. Elakkan menggunapakai pengetahuan yang ada tanpa periksa sumber yang sahih seperti berkongsi tips pembuatan kuih tradisional untuk membantu menyara duit poket ibu-ibu tunggal. Tetapi anda sendiri tidak pernah mencuba tips tersebut dan tidak pasti samada ia betul atau salah. Boleh jadi tidak berjaya penghasilan kuih tersebut dan anda telah menyampaikan ilmu yang salah.

Tips 4 # Jangan sombong

Banyak atau sedikit ilmu yang kita pelajari bukanlah halangan untuk kita bermasyarakat. Jangan kerana ilmu kita melebihi yang lain menjadikan kita sombong dan riak sehingga masyarakat tidak berani untuk dekati. Cara dan sikap sebegitu jelas salah disisi Islam. Agama Islam tidak pernah mengajar umatnya sombong dan angkuh antara satu sama lain kerana ia adalah sifat yang keji.

Tips 5 # Jangan lupa amalkan

Setkan setiap hari anda harus capai satu target. Contohnya meluangkan masa sekurang kurangnya 15 hingga 30 minit untuk mencari ilmu. Walaupun tanpa bahan fizikal, anda boleh mendapatkan sumber dari internet. Baca apa sahaja dan cuba pelajarinya. Walaupun sedikit tetapi bermanfaat untuk anda seperti pepatah “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda semua terus bersemangat dan tidak jemu untuk mempelajari ilmu yang mungkin baharu pada kita semua. Ketahuilah ilmu adalah penyuluh kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.